JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak 12 Tahun Lemas Ketika Tangkap Ikan Di Tali Air

22/12/2025 03:28 PM

KUANTAN, 22 Dis (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia akibat lemas di sebuah tali air di Kampung Permatang Gepung, Nenasi dekat Pekan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa Muhammad Alif Fahmi Abdullah dipercayai sedang menangkap ikan di tali air berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa pada mulanya keluar mencari ikan bersama ibu dan tiga adiknya pada 5.30 petang, namun mangsa kemudian kembali ke lokasi berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya bersama seorang adik dan dua rakan.

“Semasa mencari ikan, mangsa telah dihanyutkan arus dan adik serta dua kawannya telah meminta pertolongan daripada penduduk kampung.

“Mangsa kemudian ditemukan di dalam air pada kedalaman kira-kira dua meter, kira-kira 20 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Zaidi berkata penduduk kampung membawa Muhammad Alif Fahmi ke rumah sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Nenasi.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan dan kematian disahkan berpunca daripada lemas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan