POLITIK

Mas Ermieyati Sedia Letak Jawatan Pengerusi PN Melaka

31/12/2025 07:14 PM

MELAKA, 31 Dis (Bernama) -- Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsudin telah menyatakan kesediaan mengikut jejak langkah beberapa pemimpin parti meletak jawatan dalam Perikatan Nasional (PN), jika tindakan itu merupakan keputusan bersama.

Pengerusi PN Melaka itu bagaimanapun memaklumkan kenyataan bahawa pelantikan Pengerusi PN negeri dan jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN semalam adalah tidak tepat.

Mas Ermieyati, yang juga Ketua Wanita PN dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, berkata pelantikan di peringkat pusat atau negeri adalah berdasarkan keputusan bersama Majlis Tertinggi PN.

"Saya mengambil maklum desakan segelintir pihak yang menggesa dan menantikan saya meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.

"Ingin saya tegaskan bahawa keputusan untuk tidak meletakkan jawatan ini bukanlah didorong oleh sebarang kepentingan peribadi apatah lagi kerana ingin mempertahankan jawatan atau kuasa, sebaliknya dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan PN di peringkat negeri," menurutnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 diikuti empat lagi pimpinan utama Bersatu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor) dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Setiausaha Agung PN merangkap Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor).

Turut meletak jawatan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan