POLITIK

Saranan Pemuda UMNO Dalam Konvensyen Khas Dibawa Ke Majlis Tertinggi - Zambry

04/01/2026 02:58 PM

MANJUNG, 4 Jan (Bernama) -- Sebarang saranan atau gesaan yang dibuat pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO termasuk berhubung kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan, akan dibawa untuk pertimbangan Majlis Tertinggi UMNO, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata pandangan yang disuarakan sayap parti itu dalam konvensyen yang berlangsung semalam adalah hak mereka, namun sebarang keputusan berkaitan hala tuju UMNO dibuat melalui struktur parti yang telah ditetapkan.

“Itu pandangan Pemuda, sepertimana yang disebutkan Ketua Pemuda (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) semalam, apa pun sebarang pandangan itu akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi. 

“Jadi beliau tahu bahawa apa pun desakan dan langkah-langkah ataupun syor yang dibuat oleh mereka akan serahkan kepada pihak lebih tinggi, iaitu di peringkat Majlis Tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan bantuan kepada 1,350 pelajar di bawah program Back to School di sini hari ini.

Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata proses membuat keputusan dalam parti dilaksanakan secara kolektif dan matang selaras dengan amalan serta tradisi UMNO.

Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam antara lain bertujuan membincangkan mengenai hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan