AM

KPKM Berhasrat Perluas Kerjasama Strategik Dengan AS

05/01/2026 07:05 PM

PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Malaysia berhasrat memperluas kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat (AS) dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, merangkumi pengeluaran jagung bijirin bagi makanan ternakan, pemerkasaan mekanisasi dan automasi pertanian serta pembangunan tanaman kubis bulat di kawasan tanah rendah.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasrat itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar AS ke Malaysia David H. Gamble.

Menurut KPKM, Isham turut mengalu-alukan pelaburan AS ke Malaysia dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk pembangunan teknologi Internet benda (IoT) serta penambahbaikan varieti benih.

"Sehubungan itu, KPKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Pertanian (DOA) dijangka mengadakan lawatan kerja ke AS dalam masa terdekat bagi tujuan penandaarasan sistem kawalan kesihatan makanan dan pertanian negara tersebut," menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan lawatan kerja itu selaras dengan komitmen yang digariskan di bawah rangka kerja Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia-AS (ART), selain bertujuan meningkatkan keupayaan kawal selia, memperkukuh keyakinan antarabangsa serta menyokong agenda transformasi dan pemodenan sektor agromakanan negara. 

KPKM memaklumkan jumlah perdagangan pertanian antara Malaysia dan AS mencecah kira-kira RM14.68 bilion hingga Sept 2025, merangkumi eksport pelbagai produk pertanian utama Malaysia ke AS.

Antara produk yang dieksport termasuk kopi, koko, teh, rempah-ratus serta produk pertanian terproses, manakala import dari AS pula merangkumi pelbagai produk makanan.

KPKM memaklumkan kunjungan hormat berkenaan merupakan kelangsungan kerjasama dua hala yang kukuh antara Malaysia dan AS khususnya dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, selaras dengan hubungan diplomatik erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai usaha peningkatan kerjasama perdagangan pertanian bertujuan untuk memperkukuh prestasi perdagangan serta meningkatkan keyakinan bersama terhadap sistem kawal selia makanan dan pertanian kedua-dua negara.

"Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik sektor agromakanan, selaras dengan usaha Malaysia untuk meningkatkan keterjaminan bekalan makanan serta memperkukuh rantaian nilai pertanian negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan