PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) komited untuk melonjakkan kualiti penyampaian perkhidmatan agar lebih pantas, cekap dan berorientasikan rakyat, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata komitmen itu selaras dengan hala tuju yang digariskan dalam Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata Amanat Perdana Menteri 2026 itu memberikan panduan yang jelas kepada perkhidmatan awam sebagai pemangkin utama aspirasi Malaysia MADANI.
“Selaras dengan pelaksanaan kenaikan gaji pegawai awam dan agenda pendigitalan kerajaan, JPA komited untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan agar lebih pantas, cekap dan berorientasikan rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata JPA turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap dasar kerajaan dilaksanakan secara berkesan, demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata JPA turut menyokong penuh penekanan terhadap reformasi institusi, integriti serta tadbir urus berteraskan ketelusan dan akauntabiliti.
Terdahulu, Anwar dalam perutusan Tahun Baharu menyatakan pelaksanaan sistem digital akan dipergiat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
Beliau turut mengumumkan empat perundangan baharu akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, sekali gus mencerminkan hala tuju reformasi institusi di bawah Kerajaan MADANI.
Empat Rang Undang-Undang (RUU) itu ialah had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh, pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, penubuhan Ombudsman, Kebebasan Maklumat (FOI).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial