KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Hala tuju Kerajaan MADANI dalam memperkukuh reformasi institusi, keadilan sosial, pengukuhan ekonomi dan pemerkasaan rakyat bagi memasuki tahun 2026 jelas menerusi pengumuman tujuh perkara utama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata ketujuh-tujuh perkara yang diumumkan itu memberikan isyarat penting ke arah pembinaan sebuah Negara MADANI yang berteraskan prinsip amanah, akauntabiliti dan kesejahteraan bersama.
Beliau berkata ABIM menyokong usaha menjadikan reformasi sebagai tunjang pentadbiran negara khususnya melibatkan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
“Langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum dan mengekang salah guna kuasa secara berinstitusi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata agenda reformasi itu perlu disertai mekanisme pemantauan awam yang jelas, garis masa pelaksanaan yang boleh diaudit serta pelaporan berkala kepada rakyat bagi memastikan setiap komitmen dipertanggungjawabkan.
Beliau berkata reformasi negara wajar diperluas kepada pembaharuan struktur yang masih belum disentuh secara tuntas, termasuk reformasi pembiayaan politik, pengukuhan kebebasan media, pemerkasaan peranan Parlimen serta hubungan yang lebih tersusun antara kerajaan dan masyarakat sivil.
“ABIM menekankan bahawa kejayaan reformasi ini memerlukan sokongan padu seluruh ekosistem negara, merentas parti politik, institusi kerajaan, masyarakat sivil dan rakyat.
"Reformasi tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya menuntut kematangan politik dan kesediaan bersama meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan partisan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata ABIM akan terus berperanan sebagai rakan kritis yang konstruktif dengan menyokong setiap langkah yang memihak kepada rakyat serta menegur secara berhemah demi memastikan Malaysia benar-benar bergerak ke arah sebuah Negara MADANI yang adil, berperikemanusiaan dan bermaruah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial