KUALA LUMPUR, 8 Jan -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat satu pencapaian penting menerusi prapelancaran Program Kampus Mobiliti Pintar, inisiatif yang bertujuan meningkatkan keselamatan dan mobiliti pelajar serta memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri.
Prapelancaran program berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim pada Jumaat lepas dalam satu sesi eksklusif yang berlangsung di Kampus UTM Kuala Lumpur, bersama-sama Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Prof Madya Dr Nurulakmar Abu Husain.
Dalam ucapannya, Mohd Shafry memuji inovasi serta usaha bersama pasukan projek, sekali gus inisiatif itu mencerminkan komitmen UTM terhadap kerjasama berimpak tinggi antara akademia dan industri selari dengan slogan universiti, “Menginovasi Penyelesaian Lestari”.
“Pihak kepimpinan UTM melihat program ini sebagai penanda aras berpotensi bagi integrasi kampus pintar, keusahawanan belia dan pembangunan infrastruktur pengangkutan lestari, serta memperkukuh peranan universiti dalam membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang bersedia menghadapi masa hadapan yang dipacu teknologi.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan pelan strategik UTM ASCEND 2030, Program Kampus Mobiliti Pintar ini mencerminkan komitmen UTM dalam memupuk inovasi yang bertanggungjawab dan berteraskan nilai, demi memperkasa kesejahteraan masyarakat, kelestarian serta kemajuan nasional menerusi kerjasama berkesan antara akademia dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan pengeluar automatif nasional, Perodua, direka untuk meningkatkan moboliti kampus dan keselamatan pelajar, selain memberikan pendedahan langsung dalam pembangunan syarikat pemula, kejuruteran aplikasi dan sistem pengurusan pintar.
Pada sesi tersebut, ketua projek Dr Zulhasni Abdul Rahim membentangkan kemajuan tiga prototaip kenderaan pintar yang dibangunkan di bawah fasa satu, yang dilengkapi teknologi berasaskan Internet Benda (IoT) serta ciri kawalan pintar diintegrasikan melalui aplikasi mudah alih khas yang dibangunkan oleh pelajar UTM.
Demonstrasi secara langsung turut diadakan bagi mempamerkan capaian dan kawalan jarak jauh masa nyata, sekali gus menonjolkan impak praktikal inovasi yang diterajui pelajar itu.
Program tersebut dijadualkan memasuki fasa kedua, dengan penambahan 12 kenderaan pintar, tertakluk kepada kejayaan penilaian fasa satu oleh pihak pengurusan Perodua, dengan perancangan jangka panjang untuk diperluaskan ke luar UTM serta mewujudkan ekosistem mobiliti pintar di kampus seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial