AM

Tingkatan Enam, Matrikulasi Bawah KPT Perkukuh Kesediaan Pelajar Ke Universiti

21/01/2026 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Sistem pendidikan prauniversiti membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi yang diambil alih Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula tahun ini, dilihat mampu memastikan peralihan pelajar ke ekosistem pendidikan tinggi berlangsung dengan lebih tersusun dan selari.

Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Profesor Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata langkah itu merupakan satu penambahbaikan penting kerana pelajar akan mula didedahkan dengan kaedah penilaian digunakan di universiti, termasuk penggunaan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).

“Di peringkat sekolah, pelajar tidak menggunakan PNGK namun apabila mereka memasuki matrikulasi atau STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), penilaian berasaskan PNGK mula diperkenalkan dan ini selari dengan kaedah penilaian di institusi pengajian tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘STPM, Matrikulasi Kini Pendidikan Tinggi’ yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Khairul Salleh berkata negara lain mengamalkan sistem pendidikan K-12, iaitu 12 tahun pendidikan formal sebelum pelajar melangkah ke peringkat pendidikan tinggi.

Beliau berkata di Malaysia, pelajar lazimnya menamatkan pendidikan formal selama 11 tahun selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan tahun ke-12 diisi melalui STPM, Matrikulasi atau aliran setara seperti A-Level dan program asasi yang ditawarkan universiti.

Beliau berkata penyelarasan prauniversiti di bawah satu kementerian akan membolehkan penambahbaikan tadbir urus, kurikulum dan kualiti pengajaran dilaksanakan secara lebih bersepadu.

“Dengan penyelarasan ini, kita boleh memantapkan saluran prauniversiti supaya pelajar yang melangkah ke universiti benar-benar bersedia dari segi akademik dan kaedah pembelajaran,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun ini.

Beliau berkata pengambilalihan itu secara rasmi meletakkan kedua-dua aliran berkenaan sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi negara.

Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan berasingan berkata Rancangan Pendidikan Nasional 2026-2035 membuka peluang besar untuk memperkukuh semula sistem pendidikan negara dan tepat pada masanya untuk membentuk masa depan negara melalui pendidikan.

“Kejayaan rancangan ini tidak harus diukur berdasarkan cita-cita semata-mata, tetapi sejauh mana ia mampu menyediakan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama kepada setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi atau lokasi geografi.

“Usaha merapatkan jurang bandar-luar bandar, memperkukuh kemahiran asas literasi dan numerasi, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta memastikan kurikulum kekal relevan dalam era pendigitalan, kecerdasan buatan dan perubahan iklim merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Selain itu, Lee berkata pelaburan berterusan dalam pembangunan profesional guru, pengurangan beban pentadbiran yang tidak perlu serta pemeliharaan kebajikan dan motivasi amat penting untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. 

Di samping itu, beliau berkata sekolah mesti menjadi persekitaran selamat, inklusif dan bebas daripada buli, serta aspek kesejahteraan mental, pembentukan sahsiah dan tanggungjawab sivik pelajar perlu diberi tumpuan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan