EKONOMI

MTT Shipping And Logistics Dapat Kelulusan SC Untuk Penyenaraian Pasaran Utama

26/01/2026 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- MTT Shipping and Logistics Bhd (MTTSL) memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk cadangan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pengarah Urusannya Ooi Lean Hin berkata cadangan tawaran awam permulaan (IPO) itu dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan jangka panjang MTTSL kerana syarikat berhasrat untuk mengembangkan rangkaian perkhidmatannya di Asia Tenggara, benua kecil India dan China.

“Kami akan mengembangkan rangkaian kami melalui pembelian kapal kontena tambahan dengan pelbagai keupayaan untuk memanfaatkan pertumbuhan jumlah kargo yang dipacu oleh penjajaran semula rantaian bekalan dan penempatan semula lokasi pengeluaran.

“Kami juga menumpukan kepada pembangunan kemudahan pengangkutan bersepadu kami bagi merangsang pertumbuhan sektor domestik di Malaysia Timur dengan menangani jurang infrastruktur di samping membina kapasiti logistik dalam menyokong pertumbuhan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur serta pertumbuhan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan IPO MTTSL akan merangkumi tawaran kepada institusi dan runcit, melibatkan sejumlah 633.5 juta saham biasa baharu MTTSL.

“Bagaimanapun, tiada tawaran penjualan saham biasa sedia ada di bawah cadangan IPO itu dan semua dana yang dikumpulkan menerusi cadangan IPO berkenaan akan diterima sepenuhnya oleh kumpulan.

“Sebanyak 312.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala 258.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih Malaysia (selain pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI) serta pelabur institusi dan pelabur terpilih asing di luar Amerika Syarikat (AS) selaras dengan Peraturan S di bawah Akta Sekuriti AS 1933.

MTTSL berkata sebanyak 12.5 juta saham diperuntukkan kepada pengarah MTTSL, kakitangan kumpulan dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan yang layak menyertai tawaran runcit berkenaan.

Baki 50 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam di Malaysia melalui proses pengundian.

CIMB Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, koordinasi global bersama, penyelaras bersama, penaja jamin pengurusan dan penaja jamin bersama untuk pelaksanaan IPO itu.

CLSA Limited dan CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd pula ialah koordinasi global bersama dan penyelaras bersama, manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd bertindak sebagai penyelaras bersama dan penaja jamin bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan