EKONOMI

Untung Bersih Eco-Shop Naik 15.5 Peratus Kepada RM61.89 Juta Pada Suku Kedua 2026

26/01/2026 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Keuntungan bersih Eco-Shop Marketing Bhd (Eco-Shop) meningkat kepada RM61.89 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Nov, 2025 (S2 TK2026) daripada RM53.60 juta, mewakili kenaikan sebanyak 15.5 peratus tahun ke tahun. 

Perolehan bagi suku tahun dalam tinjauan juga meningkat 2.9 peratus kepada RM714.83 juta daripada RM694.49 juta sebelumnya, didorong oleh pengembangan berterusan rangkaian kedai kumpulan itu, iaitu penambahan bersih sebanyak 18 kedai baharu. 

“Jumlah kedai meningkat daripada 323 kedai pada 30 Nov, 2024 kepada 409 kedai pada 30 Nov, 2025.

“Oleh itu, jumlah transaksi jualan juga meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada 30.6 juta pada S2 TK2026,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Bagi separuh pertama 2026, Eco-Shop merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM120.65 juta daripada RM93.19 juta pada separuh tahun yang sama dengan perolehan sebanyak RM1.40 bilion, menunjukkan kenaikan 2.7 peratus daripada RM1.36 bilion pada S1 2025, didorong oleh penambahan bersih sebanyak 86 kedai baharu tahun ke tahun. 

Syarikat peruncitan produk isi rumah itu berkata jumlah transaksi jualan meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada 59.9 juta pada separuh pertama 2026. 

“Pertumbuhan pendapatan diterjemahkan kepada keuntungan kasar yang lebih tinggi sebanyak RM451.7 juta pada separuh pertama 2026.

“Margin keuntungan kasar mengukuh kepada 32.2 peratus pada separuh pertama 2026, meningkat daripada 26.4 peratus, susulan kenaikan harga jualan, campuran produk yang menggalakkan dan pengukuhan ringgit,” kata Eco-Shop.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Eco-Shop Jessica Ng berkata dengan perancangan kukuh bagi membuka kedai baharu pada S2 TK2026, kumpulan itu berada di landasan yang tepat untuk melangkaui sasarannya iaitu sebanyak 70 kedai baharu pada tahun ini. 

“Kami percaya segmen kedai dolar Malaysia masih belum ditembusi sepenuhnya, sekali gus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar dan kami telah menyediakan strategi untuk terus mengembangkan rangkaian kedai kami bagi meningkatkan jangkauan pasaran kami. 

“Selain menambah rangkaian kedai, kami juga akan meningkatkan pengalaman dalam kedai menerusi inisiatif pengubahsuaian yang lebih segar dan berterusan.

“Ini bagi memastikan persekitaran membeli-belah yang menyenangkan sambil kekal setia kepada janji kami mengenai kemampuan,” katanya. 

Beliau juga berkata kumpulan tersebut akan terus mengukuhkan bahagian pasarannya, meningkatkan keupayaan pelaksanaan dan pengalaman pelanggan bagi memacu pertumbuhan dan pulangan yang mampan. 

Sementara itu, kumpulan tersebut mengumumkan dividen peringkat tunggal interim sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026, dan tarikh pembayaran dividen dijangka pada 26 Feb, 2026. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan