GAZA, 2 Feb (Bernama-Xinhua) -- "Masalah teknikal" menghalang ahli jawatankuasa pentadbiran Gaza yang baru ditubuhkan daripada memasuki wilayah itu melalui pintu sempadan Rafah pada Isnin, menurut seorang ahli jawatankuasa berkenaan pada Ahad, lapor Xinhua.
Ahli Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza, Aed Yaghi, berkata kumpulan itu masih berada di Kaherah disebabkan "masalah teknikal dan halangan" yang tidak dinyatakan.
Beliau menyatakan harapan agar badan yang dianggotai 15 ahli itu akan dapat memasuki Gaza dalam masa beberapa hari lagi.
Seorang lagi ahli jawatankuasa yang enggan dikenali berkata, kumpulan itu masih belum mempunyai ibu pejabat dan belanjawan operasi.
Beliau berkata tiada sokongan kewangan diterima setakat ini, namun jawatankuasa itu menjangkakan akan menyewa sebuah kemudahan di Bandaraya Gaza tidak lama lagi.
Sebaik tiba, ahli jawatankuasa merancang untuk bertemu dengan puak-puak Palestin dan badan kerajaan bagi menyelaraskan urusan penyerahan kementerian serta pejabat.
Dalam perkembangan berasingan, sumber keselamatan Palestin berkata 50 pesakit dijangka pulang ke Gaza melalui Rafah pada Isnin, namun prosedur bagi mereka yang ingin meninggalkan Gaza masih belum jelas.
Pintu sempadan Rafah dibuka semula sebahagiannya pada Ahad secara percubaan selepas ditutup selama lebih 18 bulan.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial