AM

UKM Lancar Program Pensijilan Profesional Keselamatan Siber, AI Di Qatar

02/02/2026 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi pelancaran program pensijilan profesional dalam bidang keselamatan siber dan AI Quantum dengan kerjasama BlackBerry serta QuantumX Solutions GmbH, baru-baru ini.

UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelancaran program yang diadakan di Lusail, Qatar, itu adalah sebahagian daripada hala tuju strategik pembangunan UKM-Qatar.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan mencerminkan peranan UKM-Qatar sebagai platform pendidikan profesional bertaraf antarabangsa, di samping memperluas impak universiti dalam pembangunan bakat keselamatan siber serta keupayaan cyber resilience (kebingkasan siber) yang mampan pada peringkat global.

“Program profesional ini hasil kerjasama strategik antara UKM, BlackBerry dan QuantumX Solutions GmbH susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 4 Nov lepas.

“Kerjasama itu memfokuskan kepada pembangunan kepakaran keselamatan siber dan penggunaan AI (kecerdasan buatan), pengurusan risiko digital serta keupayaan kebingkasan siber yang semakin kritikal dalam landskap teknologi global,” menurut kenyataan itu.

Sebagai pelengkap, ketiga-tiga pihak turut menganjurkan dua bengkel kebingkasan siber sebagai platform perkongsian kepakaran antara akademia dan industri, yang dihadiri lebih 50 peserta dari universiti serta sektor industri di Doha.

Bengkel itu memberikan pendedahan langsung kepada peserta sektor awam dan swasta mengenai cabaran keselamatan sistem, perlindungan infrastruktur digital serta keperluan teknikal berimpak tinggi dalam persekitaran operasi sebenar, termasuk penggunaan prompt AI secara pantas dan selamat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan