GUA MUSANG, 9 Feb (Bernama) -- Hidangan pemanis mulut juadah Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa Fa Gao yang menambahkan lagi warna-warni serta seri di meja santapan kerana bentuknya persis bunga yang kembang mekar.
Pembuat kuih tradisional, Cheong Wan Choo, 57, berkata Fa Gao, kuih tradisional Cina yang dikukus untuk menjadikan teksturnya lembut dan gebu, adalah antara hidangan wajib yang perlu ada ketika tahun baharu dan digunakan ketika upacara sembahyang.
"Fa Gao ialah simbolik kepada doa untuk memohon keberkatan dalam kehidupan seharian seperti kesihatan yang baik dan perniagaan yang maju," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru di sini, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Cheong berkata walaupun kuih yang berwarna merah jambu dan kuning ini tidak rumit untuk dihasilkan, kaedah memasak perlu diberi perhatian kerana proses itu yang akan menentukan sama ada kuih itu menjadi atau sebaliknya.
"Bahan asas untuk membuat kuih ini ialah nasi, tepung beras dan gula. Bahan-bahan ini perlu diadun sekata sebelum dimasukkan ke dalam kertas acuan untuk dikukus.
"Tempoh adunan yang dikukus tidak boleh terlalu singkat atau lama. Proses ini akan menentukan sama ada adunan tadi telah masak dengan sempurna, pada masa yang sama permukaannya mestilah merekah dan kembang serta cantik," katanya.
Cheong berkata lazimnya, dia akan menghasilkan lebih 1,000 biji Fa Gao khas untuk sambutan Tahun Baharu Cina dan akan mula menghasilkannya secara berperingkat dalam tempoh tiga hari sebelum menjelang hari perayaan.
"Sekiranya diletakkan di dalam peti ais, kuih ini boleh dikukus semula, malah saiznya akan membesar daripada yang asal, dan rasanya masih sama.
"Penggunaan mesin pengadun menjadikan proses pembuatan lebih mudah dan cepat berbanding ketika saya mula-mula menceburi bidang penghasilan kuih tradisional ini," katanya yang berpengalaman selama 15 tahun membuat kuih Fa Gao.
Wanita itu berkata Fa Gao bersaiz kecil dijual pada harga RM1 sebiji, manakala saiz besar berharga RM5.50 bagi setiap biji.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial