EKONOMI

Sistem Perbankan Malaysia Kekal Stabil Dipacu Pertumbuhan, Asas Ekonomi Kukuh -- Moody's

09/02/2026 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Prospek bagi sistem perbankan Malaysia yang diberi penarafan A3, kekal stabil didorong oleh pertumbuhan serta asas-asas ekonomi yang kukuh, demikian menurut Moody’s Ratings.

Menerusi kenyataan hari ini, agensi penarafan itu menyatakan faktor-faktor pendorong lain, termasuk perbelanjaan isi rumah yang dipacu oleh pasaran guna tenaga kukuh, pelaburan awam dan swasta yang mantap, kadar faedah rendah, sektor pelancongan kesihatan serta eksport elektronik yang stabil.

Kos kredit bank-bank akan meningkat secara sederhana selepas penambahbaikan sejak empat tahun lepas ketika lembaran imbangan runcit dan korporat kekal stabil manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan beberapa cabaran susulan tekanan kos dan kelemahan sedia ada dalam beberapa sektor selain perdagangan global yang perlahan.

Moody’s juga menyatakan risiko aset itu secara amnya lebih stabil dengan peningkatan sederhana dalam kos kredit manakala nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) adalah dalam julat 1.4-1.6 peratus pada 2026, seiring dengan purata jangka panjang dan berbanding 1.4 peratus pada akhir Jun 2025.

“Kualiti kredit pinjaman perniagaan secara menyeluruh di Malaysia telah bertambah baik sejak beberapa tahun lepas dengan nisbah NPL pada 2.2 peratus di akhir Jun 2025 berbanding 2.8 peratus pada akhir Jun 2023,” menurut agensi penarafan itu.

Moody’s juga menyifatkan bank-bank Malaysia dijangka terus meraih modal yang mencukupi memandangkan aset-aset sistem secara meluas diunjur berkembang sederhana dan sektor perbankan dijangka menjana pulangan ekuiti 10-11 peratus, sekali gus membolehkan pengumpulan modal dalaman yang jauh lebih tinggi daripada pertumbuhan aset.

Pada akhir Jun 2025, kadar nisbah modal ekuiti biasa tahap 1 (CET1) sistem secara keseluruhannya kekal pada 14.7 peratus berbanding 14.9 peratus pada tahun sebelumnya, manakala nisbah pembayaran dividen meningkat dalam dua tahun kebelakangan ini di beberapa bank.

Menurut Moody’s keuntungan bank kekal memadai kerana margin faedah bersih (NIM) dijangka di tahap rendah, disokong oleh pendapatan bukan faedah daripada pengurusan kekayaan, insurans, pasaran modal serta pendapatan fi.

NIM bagi bank-bank Malaysia menguncup pada 2025 berikutan pengurangan kadar faedah dasar, namun pelarasan deposit yang lazimnya tertangguh selepas pengurangan kadar dijangka membantu menstabilkan NIM pada 2026.

“Pengurangan kadar dasar Malaysia sebanyak 25 mata asas pada tahun lepas adalah sederhana berbanding dengan negara-negara di Asia Tenggara dan kami mengunjurkan peningkatan dalam kos kredit adalah kecil.

“Pembiayaan dan mudah tunai akan kekal stabil dan kami mengunjurkan pinjaman berkembang seiringan dengan deposit. Sehubungan itu, agregat nisbah pinjaman kepada deposit bagi bank-bank yang dinilai diunjur kekal dalam julat 91 peratus manakala pinjaman dan deposit sistem meningkat purata lima peratus sejak lima tahun lepas,” menurut agensi itu.

Moody’s juga menyatakan mudah tunai bank kekal mencukupi berikutan pegangan dalam sekuriti kerajaan.

“Nisbah agregat liputan mudah tunai dan nisbah pembiayaan stabil bersih kekal positif dan berada di tahap melepasi minimum yang ditetapkan iaitu masing-masing pada 160.5 peratus dan 115.7 peratus pada akhir Jun 2025.

“Kesediaan serta kapasiti kerajaan untuk memberi sokongan terhadap bank-bank jika diperlukan, juga kekal kukuh,” menurut Moody’s.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan