KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Syarikat Malaysia disaran meneroka peluang merentas pelbagai sektor di India termasuk semikonduktor, tenaga dan pertanian, susulan naik taraf hubungan dua hala Malaysia-India kepada perkongsian strategik komprehensif pada 2024.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa berkata penyertaan syarikat Malaysia di India masih belum memberangsangkan, sebahagian besarnya disebabkan kekurangan kesedaran mengenai peluang luas yang tersedia dalam pasaran itu.
“Potensinya memang ada. India ialah pasaran yang sangat besar, jadi syarikat Malaysia perlu datang dan meneroka India,” katanya pada program Bernama World yang mengupas tajuk “Malaysia & India: Economic Ties in Action” terbitan Bernama TV hari ini.
Kajian ekonomi akhir 2025 oleh kerajaan India, yang dikeluarkan pada Disember 2025, menyatakan negara itu telah menjadi ekonomi keempat terbesar dunia.
Perdana Menteri India Narendra Modi telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 7 dan 8 Februari lepas.
Pada sidang media bersama Modi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan meraih manfaat besar sekiranya negara ini memperoleh lebih banyak peluang kerjasama dengan India.
Anwar berkata penting untuk memajukan serta memperkukuh hubungan antara India dan Malaysia secara strategik.
Kedua-dua negara, yang menjalinkan hubungan dua hala sejak 1957, menaik taraf hubungan tersebut kepada perkongsian strategik komprehensif pada 2024.
Sementara itu, Muzafar Shah berkata pada masa sama, kerajaan India sedang membangunkan industri minyak sawit domestiknya di samping mendapatkan kepakaran teknikal serta pengetahuan industri dari Malaysia.
Beliau berkata populasi India kira-kira 1.2 bilion terus menyokong permintaan kukuh terhadap komoditi utama, dengan penggunaan minyak sayuran tahunan dianggarkan hampir 25 juta tan metrik.
Malaysia kini membekalkan kira-kira tiga juta tan minyak sawit ke India setiap tahun, dan kerjasama minyak sawit merupakan sebahagian daripada perbincangan dua hala yang lebih luas bagi memastikan keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan antara kedua-dua negara, katanya.
“Kini kerajaan India juga sedang berusaha membangunkan industri minyak sawit mereka sendiri. Mereka turut mendapatkan bantuan Malaysia dari segi pengetahuan dalam industri minyak sawit.
“Ini adalah antara bidang yang kita bincangkan dengan India. Di pihak Malaysia pula, kita turut bergantung kepada India bagi pelbagai produk pertanian seperti beras dan bawang,” katanya.
Muzafar Shah berkata dasar India yang menumpukan terhadap kebergantungan kendiri turut merangkumi sektor makanan, sekali gus mewujudkan peluang kerjasama dalam pembangunan pertanian dan peningkatan produktiviti.
Eksport Malaysia bernilai US$12.24 bilion (US$1 = RM3.94), manakala import mencecah US$6.35 bilion.
Barangan eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import pula kebanyakannya melibatkan produk pertanian, petroleum dan kimia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial