DUNIA

Jurang Pendapatan Singapura Pada Tahap Terendah, Petanda Kejayaan Dasar - PM Wong

10/02/2026 12:14 AM

SINGAPURA, 9 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Lawrence Wong hari ini berkata jurang pendapatan dalam kalangan pekerja Singapura telah menurun secara konsisten sepanjang sedekad lalu dan kini berada pada tahap terendah dalam rekod.

Wong berkata keadaan itu menunjukkan dasar republik berkenaan telah berfungsi dengan baik sepanjang 10 tahun lalu seperti diperincikan dalam kertas kerja berkala bertajuk, Income Growth, Inequality, and Social Mobility Trends in Singapore.

Dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin, kertas kerja itu menggariskan pendekatan dan dasar kerajaan bagi mengekalkan masyarakat yang adil dan inklusif.

Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata data menunjukkan gaji sebenar telah meningkat merentasi semua peringkat pendapatan sepanjang 10 tahun lalu, yang bermaksud pertumbuhan gaji telah mengatasi inflasi bagi ramai pekerja dan isi rumah Singapura.

“Yang penting, pertumbuhan gaji paling kukuh adalah dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah, lebih pantas berbanding mereka di peringkat pertengahan atau atasan,” katanya dalam hantaran video terbaharu di laman Facebook rasminya pada Isnin.

Menurut Wong, memastikan Singapura terus berada di landasan yang betul memerlukan usaha lebih besar serta kesediaan untuk menyesuaikan diri dan melakukan perubahan dalam menghadapi cabaran global baharu.

“Inilah teras Forward Singapore. Kami memperbaharui pendekatan dan memperkukuh kontrak sosial agar setiap rakyat Singapura mempunyai peluang yang nyata dan bermakna untuk maju, dan kita terus melangkah ke hadapan bersama-sama, walaupun dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

“Dalam penggal pentadbiran ini, kami akan meneruskan usaha membina sebuah masyarakat yang lebih adil dan saksama serta Singapura yang lebih inklusif untuk semua,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan