KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM66.1 bilion atau 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga September, 2025, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata dari tempoh Januari sehingga November 2025, sektor berkenaan menyumbang sebanyak RM180.2 bilion atau 12.4 peratus kepada jumlah eksport negara.
“Kerajaan sedar akan isu semasa seperti penyakit dan harga tidak stabil yang menjejaskan pendapatan sektor ini, terutamanya pekebun-pekebun kecil.
“Mengambil kira perkara ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan sedang dalam proses Kajian Separuh Penggal (KSP) Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030), katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPK di Dewan Rakyat hari ini.
Noraini juga memaklumkan KPK mengemukakan satu permohonan untuk pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) mengenai bantuan tambahan kepada pekebun kecil dalam sektor getah, namun setakat ini belum mendapat kelulusan.
Bagi sektor getah, katanya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaksanakan Program Kawalan Penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP) sejak 2023 hingga 2025 dengan peruntukan terkumpul sebanyak RM37.98 juta dan melibatkan kawalan untuk 38,492 hektar kawasan getah matang yang parah (ditoreh secara berlebihan).
“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) juga melaksanakan program yang sama dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan kos sebanyak RM68.56 juta bagi keluasan 96,279 hektar kawasan getah milik pekebun kecil di bawah RISDA,” katanya.
Beliau berkata selain serangan penyakit LDP, penurunan pengeluaran getah asli turut dipengaruhi oleh faktor lain seperti kawasan tanaman matang yang terbiar, kos pengeluaran yang tinggi dan umur penoreh yang semakin berusia.
Sehubungan itu, selain usaha mengawal penularan LDP, kerajaan turut melaksanakan program konsolidasi ladang getah terbiar bagi meningkatkan semula pengeluaran getah asli domestik dan mengelakkan kemerosotan berterusan industri ini.
“LGM melaksanakan program ini melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan estet swasta untuk pemulihan ladang getah terbiar seluas 1,000 hektar dengan peruntukan sebanyak RM7 juta pada 2025.
“Bagi tahun seterusnya, disasarkan seluas 6,500 hektar kawasan getah terbiar akan dipulihkan dengan anggaran pengeluaran sebanyak 10,000 tan getah dapat ditingkatkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Noraini berkata sehingga 31 Dis, 2025, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) memberi manfaat kepada lebih 254,000 pekebun kecil dengan jumlah bayaran melebihi RM534 juta.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM171 juta setahun bagi 2025 dan 2026 untuk IPG, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial