AM

Undang-undang Sedia Ada Cukup Untuk Tangani Penyeludupan e-Waste - Peguam Negara

09/02/2026 09:51 PM

PELABUHAN KLANG, 9 Feb (Bernama) -- Undang-undang sedia ada termasuk Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) 2024 mencukupi bagi menangani isu penyeludupan masuk sisa elektronik (e-waste) di pintu masuk negara.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata penelitian utama ketika ini adalah melibatkan kaedah pelaksanaan, penguatkuasaan serta penyelarasan operasi antara agensi terlibat.

“Ada beberapa aspek perundangan yang kita bincang tadi (bagi penguatkuasaan). Selain melaksanakan Akta AKPS 2024, Akta Kastam 1967 dan Kanun Prosedur Jenayah (turut dilaksanakan) untuk mengenal pasti dan menjalankan operasi yang berkesan.

“Di samping itu, kita boleh guna banyak sumber perundangan (sedia ada), yang penting kita kena kenal pasti dahulu isu dan kemudian kita amalkan tatacara yang bertepatan dengan aspek pengoperasian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pelabuhan Barat, di sini sempena lawatan kerjanya ke pelabuhan berkenaan hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Dalam pada itu, beliau berkata proses pengesanan dan pembongkaran kontena disyaki mengandungi e-waste merupakan satu tugasan rumit dan memakan masa, selain memerlukan jumlah anggota yang mencukupi serta penggunaan peralatan dan sistem sokongan yang lebih efisien.

“Susulan itu, apa yang disarankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah antara aspek yang perlu kita teliti. 

“Saya rasa kerjasama semua pihak wajar kita perkemaskan. Itu yang penting untuk menangani isu-isu penyeludupan di sempadan terutama sekali isu e-waste,” katanya.

Mengulas modus operandi sindiket penyeludupan sisa itu, beliau berkata antara kaedah dikenal pasti ialah penggunaan deklarasi palsu, selain menyembunyikan bahan terlarang di sebalik barangan diisytiharkan sebagai sah untuk mengelirukan proses pemeriksaan.

Katanya sebarang perincian lanjut mengenai isu menangani e-waste akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa melibatkan pelbagai agensi yang akan dipengerusikannya dalam tempoh terdekat. 

Dalam pada itu, beliau berkata lawatan ke Pelabuhan Klang hari ini adalah untuk mendapatkan pendedahan langsung mengenai operasi di lapangan bagi membolehkan sebarang keputusan dan cadangan dibuat berasaskan kefahaman menyeluruh terhadap cabaran sebenar yang dihadapi agensi penguat kuasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengarahkan AKPS bersama agensi berkaitan memperhebatkan operasi terhadap kegiatan pengimportan e-waste secara haram di negara ini.

Mohd Shuhaily berkata Perdana Menteri mahu AKPS bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan itu.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan