JENAYAH & MAHKAMAH

Jual Diesel Kepada Pembeli Tiada Permit, Syarikat Didenda RM45,000

10/02/2026 02:51 PM

IPOH, 10 Feb (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM45,000 ke atas sebuah syarikat pembekal kerana menjual diesel kepada sebuah syarikat perusahaan kuari yang tidak mempunyai permit untuk membeli bahan bakar itu, tiga tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat ZY Sdn Bhd Tan Chia Shern, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Syarikat itu didakwa menjual barang berjadual iaitu diesel sebanyak 16,380 liter kepada GCCP Marble Sdn Bhd yang tidak mempunyai permit atau kelulusan bertulis sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia di Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya, Ipoh, antara 8 pagi hingga 5 petang 15 Ogos 2023.

Sehubungan itu, syarikat tersebut didakwa melanggar Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Robin Lim Fang Say yang mewakili Tan memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya berjanji tidak mengulangi perbuatannya dan telah mengaku bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan