GUA MUSANG, 15 Feb (Bernama) -- Persalinan inspirasi daripada busana klasik diraja fongpao dan qungua yang diperbuat daripada sutera dan dihiasi sulaman benang emas halus, menjadi pilihan Kong Lee Yin bersama keluarga pada sambutan Tahun Baharu Cina, kali ini.
Pengusaha kedai salon rambut berusia 38 tahun itu berkata dia sanggup menempah khas pakaian tradisional itu lengkap dengan aksesori dari China, sebagai simbol kesinambungan budaya dan ikatan kekeluargaan.
“Kami ingin menggambarkan harapan dan doa untuk menjadi kuat serta murah rezeki sepanjang Tahun Kuda. Jadi saya memilih untuk melaram pada hari pertama Tahun Baharu dengan memakai pakaian ini.
"Fongpao dan qungua amat sesuai dipakai ketika perayaan kerana rekaan dan material pembuatan yang premium dengan sulaman unik menggunakan benang emas," katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Lama di sini baru-baru ini.
Menurut Kong, qungua ialah sebahagian daripada identiti budaya Kantonis dan warna merah adalah warna rasmi bagi pakaian tersebut.
"Fongpao pula berwarna kuning dan membawa maksud kuasa dan kemuliaan. Baju ini serupa dengan pakaian maharaja zaman dahulu. Kedua-dua jenis pakaian ini perlu digayakan lengkap dengan mahkota yang dipanggil fengguan," katanya.
Kong berkata harga persalinan lengkap ini berbeza-beza dan bergantung kepada beberapa faktor seperti bahan digunakan serta kualiti sulaman.
"Setiap pakaian diraja yang saya beli berharga RM1,000 hingga RM1,500 sepasang. Ahli keluarga saya termasuk ibu dan anak-anak, masing-masing mempunyai fongpao dan qungua sendiri," katanya yang memiliki lapan pasang busana klasik itu.
Menurut Kong, keluarganya juga sering diundang untuk menghadiri majlis kebudayaan, upacara khas dan perkahwinan dengan memperagakan pakaian tradisional berkenaan.
"Pakaian ini dipercayai dipakai ketika Dinasti Ming dan Dinasti Qing.
"Namun, pakaian yang saya miliki ini adalah versi moden dan bukanlah pakaian maharaja yang sebenar, tetapi ia diinspirasikan daripada pakaian istana zaman dahulu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial