AM

Kemalangan Maut Di Jelapang: Salah Alamat Punca Ambulans Lewat Sampai

16/02/2026 01:10 PM

IPOH, 16 Feb (Bernama) -- Kelewatan ambulans tiba di lokasi kejadian kemalangan maut di Jelapang pada 10 Feb lepas adalah disebabkan oleh alamat lokasi tidak tepat.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan lokasi awal kejadian yang dilaporkan adalah di kawasan taman perumahan sekitar Puncak Jelapang iaitu lapan kilometer daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Menurut jabatan itu, setelah tiba di lokasi pertama dan mendapati tiada kejadian seperti yang dilaporkan, pengesahan lokasi dilakukan menerusi panggilan kepada pemanggil dan pihaknya mendapati lokasi sebenar adalah di kawasan Lebuhraya Ipoh-Lumut menghala ke Jelapang.

"Semakan melalui Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan (MECC) mendapati satu panggilan kecemasan telah diterima berkaitan kemalangan tersebut dan tindakan mengikut protokol bantuan kecemasan telah dilaksanakan.

"Laporan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mendapati bahawa sebuah ambulans telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 3.05 petang," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan setibanya ambulans di lokasi kejadian sebenar pada 3.55 petang, penilaian keadaan semasa mangsa berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun telah dilakukan mengikut protokol bantuan kecemasan oleh pegawai perubatan.

"Mangsa wanita didapati mengalami kecederaan serius manakala mangsa kanak-kanak didapati tidak sedarkan diri dan telah diberikan bantuan resusitasi di lokasi kejadian serta-merta. 

"Kedua-dua mangsa telah dibawa menggunakan ambulans dan kanak-kanak berkenaan turut diberikan tindakan resusitasi aktif sepanjang perjalanan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB," menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun dilaporkan maut apabila kereta dipandu ibunya bertembung kereta peronda polis di lokasi tersebut pada 3.35 petang, 10 Feb.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan kemalangan itu turut melibatkan dua anggota polis masing-masing berusia 42 dan 48 tahun yang mengalami kecederaan kaki, patah bahu kiri serta luka kelopak mata.

Menurut siasatan kereta peronda polis jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Lumut ke Jelapang manakala wanita yang memandu Perodua Kelisa di laluan bertentangan dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba dan memasuki laluan kenderaan polis.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan