POLITIK

Jentera PH Pulau Pinang Diarah Mula Persiapan Awal Hadapi PRU

18/02/2026 08:23 PM

GEORGE TOWN, 18 Feb (Bernama) -- Jentera Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang diarah memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memandangkan baki tempoh penggal dijangka kurang dua tahun.

Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata fokus ketika ini adalah pengukuhan dalaman yang merangkumi penyusunan semula jentera, strategi gerak kerja serta pemantapan organisasi pada semua peringkat.

“Masa berlalu pantas, maka kita perlu mulakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Kita juga telah buat ketetapan untuk mempertahankan pemerintahan pada peringkat negeri dan juga peringkat pusat, itulah misi serta tanggungjawab berat kepada kita semua.

“Keputusan memulakan persiapan jentera lebih awal itu telah dibuat dalam mesyuarat awal Februari lepas dan bukan dipengaruhi faktor politik semasa mana-mana parti lain,” katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR, di Bayan Baru, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I dan barisan kepimpinan parti negeri.

Chow yang juga Ketua Menteri berkata tahun ini tempoh penting untuk memperkukuh kekuatan parti, dan menambah baik prestasi pentadbiran kerajaan.

“Tempoh yang ada semakin singkat, jadi kita perlu mula bekerja sekarang supaya menjelang pilihan raya nanti kita dapat tunjukkan rekod prestasi pentadbiran yang meyakinkan rakyat,” katanya.

Dalam sidang media selepas itu, beliau berkata keputusan sama ada PRU dan Pilihan Raya Negeri akan diadakan serentak atau tidak bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan pusat, dan PH Pulau Pinang akan mematuhi sebarang ketetapan yang dibuat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan