AM

Kohort 1 Program LAKSAMANA 3.0 Tamat Latihan Teknikal NDT

22/02/2026 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Seramai 15 anak anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menamatkan fasa latihan teknikal dalam bidang Pengujian Tanpa Musnah (NDT)) bagi Program Latihan Kemahiran Anak ATM dan Anak Veteran ATM (LAKSAMANA 3.0), semalam.

Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis penyampaian sijil di RSA Academy Sdn Bhd itu menandakan peserta telah menamatkan latihan intensif selama 14 hari bermula 8 Feb lepas di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman.

“Sepanjang tempoh latihan, peserta telah mengikuti modul komprehensif yang merangkumi penguasaan teori, pematuhan kepada standard dan prosedur industri, latihan amali mengikut situasi sebenar serta disiplin dokumentasi teknikal.

"Penekanan turut diberikan kepada aspek integriti kerja, ketelitian pemeriksaan dan pematuhan keselamatan selari dengan keperluan sektor industri berteknologi tinggi," menurut kenyataan itu.

Menurut Yayasan LTAT, bidang NDT adalah antara kompetensi kritikal dalam industri minyak dan gas, aeroangkasa, pembinaan serta tenaga yang memerlukan tahap ketepatan selain pematuhan piawaian keselamatan tinggi.

"Pendedahan awal kepada persekitaran kerja sebenar ini memperkukuh asas teknikal peserta sebelum melangkah ke fasa seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan selaras dengan model Train & Place yang menjadi teras pelaksanaan LAKSAMANA 3.0, peserta akan memulakan fasa penempatan industri selama dua bulan bermula 1 Mac ini yang memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam persekitaran kerja sebenar dan dinilai berdasarkan standard kompetensi industri semasa.

Pendekatan bersepadu itu bagi memastikan program tidak terhenti pada latihan jangka pendek semata-mata sebaliknya menyediakan laluan kerjaya yang lebih mampan dan berdaya saing. 

“Daripada 127 permohonan yang diterima, hanya 15 peserta dipilih selepas melalui proses saringan yang ketat, mencerminkan tahap persaingan yang tinggi serta keyakinan komuniti pertahanan terhadap inisiatif pembangunan kemahiran ini.

"Pemilihan yang teliti ini juga memastikan peserta yang terlibat benar-benar bersedia untuk memenuhi tuntutan latihan dan industri,” menurut yayasan itu.

Pelaksanaan LAKSAMANA 3.0 adalah kesinambungan daripada memorandum persefahaman antara Yayasan LTAT dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi pada Mei 2025, dengan Kohort 2 dijadual bermula April manakala Kohort 3 pada Ogos, menyasarkan keseluruhan 40 peserta tahun ini selaras perancangan berfasa yang telah digariskan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan