AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah Meningkat Kepada 4,650 Orang

26/02/2026 10:32 PM

KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 4,650 orang setakat 8 malam ini, berbanding 4,458 orang yang direkodkan pada 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan dalam kenyataan bahawa kesemua mangsa daripada 1,613 keluarga itu kini ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah.

Data terkini menunjukkan peningkatan ketara di daerah Beaufort dengan jumlah mangsa bertambah kepada 1,423 orang (492 keluarga), berbanding 1,231 orang pada petang tadi. 

Susulan pertambahan  itu,  dua PPS baharu telah dibuka iaitu Dewan Residensi PR1MA Woodford Estate dan Masjid Darul Ikhlas, menjadikan keseluruhan empat PPS dan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon beroperasi di Beaufort.

Di daerah Tenom, jumlah mangsa kekal tertinggi iaitu 2,406 orang (795 keluarga) tanpa perubahan berbanding petang tadi. Kesemua mangsa di daerah pedalaman itu masih ditempatkan di 13 PPS.

Sementara itu, tiga daerah lain tidak menunjukkan perubahan jumlah mangsa. Sipitang kekal dengan 421 orang (176 keluarga), Membakut 321 orang (125 keluarga), manakala Sook tetap mencatatkan 79 mangsa (25 keluarga).

Untuk makluman, daerah Beaufort, Sipitang dan Membakut terletak di pantai barat Sabah, arah barat daya dari Kota Kinabalu, manakala Tenom dan Sook berada di kawasan pedalaman negeri ini.

Secara keseluruhan, jumlah kawasan terjejas akibat banjir di kelima-lima daerah terbabit kekal sebanyak 146 kampung.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa terkorban dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan