KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan penalti Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) sebanyak RM9.1 juta terhadap kontraktor, ALSTOM IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech Joint Venture).
Kementerian Pengangkutan berkata tindakan itu susulan kegagalan mereka menyiapkan projek aerotrain baharu di Kuala Lumpur International Airport (KLIA).
Penalti berkenaan (LAD) dikenakan selama 91 hari, bermula pada 1 April, 2025 sehingga 30 Jun, 2025.
"Seperti termaktub dalam kontrak, jumlah LAD dikenakan adalah sebanyak RM100,000 sehari atau jumlah keseluruhan sebanyak RM9.1 juta," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah nilai LAD atau penalti yang dikenakan oleh MAHB terhadap kontraktor Alstom IJM-Pestech Joint Venture ekoran kegagalan menyampaikan projek Aerotrain baharu secara memuaskan.
Terdahulu, MAHB berkata penilai kereta api bebas mengesahkan bahawa sistem Aerotrain KLIA beroperasi seperti dirancang dengan gangguan perkhidmatan diperhatikan sejak ia beroperasi adalah biasa dihadapi pada fasa operasi awal sistem kereta api yang kompleks.
Penilai itu mendapati bahawa gangguan tersebut tidak menimbulkan risiko keselamatan kerana kawalan kejuruteraan berstruktur dan pemantauan berterusan disediakan untuk menguruskan isu-isu tersebut dengan berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial