JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Patahkan 863 Cubaan Kemasukan Pendatang Asing Menerusi Ops Khas Pagar Laut

26/02/2026 09:14 PM

PELABUHAN KLANG, 26 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan 863 cubaan kemasukan pendatang asing menerusi Ops Khas Pagar Laut membabitkan 3,700 individu dalam tempoh lima tahun. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dari 2020 hingga 2025, operasi berkenaan turut merekodkan 344 tangkapan, dengan Sabah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah kes tertinggi masing-masing 90, 71 dan 52 kes melibatkan jumlah keseluruhan rampasan RM106.7 juta. 

“Statistik ini jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah berkompromi dengan mana-mana sindiket yang menjadikan laut sebagai pintu belakang untuk memasuki negara kita. Perkongsian risikan dan pelaksanaan operasi bersepadu adalah menjadi keutamaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Ops Khas Pagar Laut 2026 di Kapal Maritim Tun Fatimah, Pusat Hidrografi Nasional, Lebuh Sungai Chandong, Bandar Armada Putra di sini hari ini. 

Saifuddin berkata Ops Khas Pagar Laut tahun ini yang bermula esok hingga 10 April nanti bakal melibatkan kekuatan 800 pegawai dan anggota, 275 aset terdiri daripada kapal, bot peronda dan pesawat udara, dengan pemantauan serta rondaan dilaksanakan selama 24 jam menjelang sambutan Aidilfitri ini. 

Beliau berkata operasi berkenaan turut melibatkan keseluruhan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri serta kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut serta Jabatan Perikanan. 

“Kami percaya dengan kerahan sumber tenaga daripada kesemua agensi ini akan meningkatkan keberkesanan operasi ini,” katanya. 

Saifuddin berkata antara jenayah yang dikenal pasti adalah penyeludupan barangan harian, senjata dan dadah dengan menggunakan laluan laut serta pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan