POLITIK

Pertemuan Parti Melayu-Islam Hidupkan Budaya Musyawarah, Semangat Politik Budiman

06/03/2026 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Usaha menghimpunkan pelbagai parti politik daripada latar belakang berbeza melalui Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera merupakan langkah positif bagi menghidupkan budaya musyawarah serta memperkukuh semangat politik budiman di Malaysia.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata mereka menyambut baik inisiatif penganjuran itu yang membolehkan parti politik bertukar pandangan dan berdialog secara terbuka mengenai kepentingan bersama.

“Dalam sebuah masyarakat demokratik, perbezaan pandangan politik suatu yang lumrah namun ia sewajarnya diurus dengan hikmah dan adab demi mencari titik pertemuan dalam perkara yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Politik budiman menuntut agar perbezaan politik diurus dengan kebijaksanaan serta tidak membawa kepada polarisasi masyarakat atau eksploitasi sentimen agama dan kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fahmi berkata dialog mengenai kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera juga wajar membuka ruang kepada keterlibatan masyarakat MADANI termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, institusi ilmuwan dan gerakan belia agar wacana yang terhasil lebih menyeluruh.

Beliau berkata ABIM turut bersedia menyumbangkan pandangan dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh budaya dialog, keharmonian masyarakat serta kesejahteraan negara.

Terdahulu Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran Facebook berkata lapan parti politik menyertai Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan  Dunia (WTC) di sini semalam. 

Parti tersebut ialah UMNO, PKR, Amanah, PAS, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Asyraf Wajdi berkata telah diamanahkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama itu yang menghimpunkan parti politik blok kerajaan dan pembangkang demi maslahat ummah serta kepentingan Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan