AM

Exco Perak Lapor Polis, Nafi Tuduhan Kejam Terhadap Haiwan Jalanan

07/03/2026 04:25 PM

IPOH, 7 Mac (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching hari ini membuat laporan polis susulan penyebaran dakwaan tidak berasas menerusi media sosial berkaitan tindakan terhadap anjing jalanan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja itu turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ng berkata laporan dibuat susulan kenyataan seorang pengguna Facebook yang menuduh Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan tindakan kejam terhadap anjing jalanan.

"Tuduhan menggunakan ungkapan ekstrem seperti ‘tanam hidup-hidup’ disifatkan sebagai tidak berasas serta berpotensi mengelirukan masyarakat.

"Penyebaran maklumat tidak benar selain penggunaan bahasa yang menghasut emosi boleh menimbulkan ketakutan, kemarahan serta kebencian selain menjejaskan reputasi penjawat awam serta pertubuhan kebajikan haiwan yang terlibat," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini hari ini. 

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima kritikan terhadap dasar yang dilaksanakan, namun ia perlu dibuat secara berfakta dan disertai cadangan penyelesaian.

Ng berkata isu anjing jalanan merupakan cabaran kompleks yang memerlukan pendekatan realistik serta kerjasama berterusan antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, organisasi kebajikan haiwan dan masyarakat.

"Sepanjang tempoh lima bulan lepas, kerajaan negeri melalui MBI telah bekerjasama dengan pertubuhan Friends of Pawsitive (FOP) dengan membenarkan organisasi itu menuntut anjing yang ditangkap pada kadar bayaran diskaun sebelum ditempatkan di pusat perlindungan atau diadoptasi.

"Malah, kerajaan negeri melalui program Perak Pawsitive Initiative turut melaksanakan pelbagai usaha termasuk subsidi pemandulan yang melibatkan 1,308 haiwan dalam tempoh tiga tahun, program kesedaran masyarakat serta pembangunan sistem pengurusan haiwan jalanan bagi memastikan penyelesaian lebih mampan," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan