SUKAN

Pearly-Thinaah Kandas Di Separuh Akhir All England 2026

08/03/2026 02:30 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah kecundang kepada pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2026 pada Sabtu.

Pasangan nombor dua dunia itu tewas 17-21, 18-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam di Arena Utilita Birmingham.

Pearly-Thinaah memulakan set pertama dengan baik apabila mendahului 2-0, namun Ha Na-So Hee yang berada di ranking keempat dunia bangkit memintas kedudukan untuk mendahului dengan kelebihan 11-9 selepas kira-kira 13 minit permainan.

Pearly-Thinaah bekerja keras untuk merapatkan kedudukan, namun Ha Na-So Hee berhasil menutup set pertama 21-17. 

Pada set kedua, Pearly-Thinaah bermula lebih agresif dengan mendahului 10-7 sebelum wakil Korea Selatan itu bangkit melengkapkan kemenangan 21-18 untuk mara ke final.

Ia merupakan kekalahan keempat Pearly-Thinaah dalam tujuh pertembungan menentang Ha Na-So Hee sejak 2022. 

Malaysia masih mempunyai satu lagi wakil di separuh akhir menerusi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan bertemu pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi sebentar lagi. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan