AM

Dua Menteri Bangkit Isu Provokasi Agama, Kaum Pada Mesyuarat Kabinet Esok

10/03/2026 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan akan membangkitkan isu provokasi agama dan kaum pada mesyuarat Kabinet esok.

Sim dalam hantaran di Facebook hari ini berkata sudah tiba masanya untuk semua bentuk keganasan dan provokasi agama serta kaum dihentikan sepenuhnya di negara ini.

“Polis harus bertindak tegas terhadap semua pelaku tak kira siapa, dan mereka harus dikenakan tindakan undang-undang yang paling keras sekali, tak kira yang pijak al-Quran, yang pijak simbol agama Hindu, yang buat provokasi roboh kuil, yang buat vandalisme, yang bakar kenderaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya memikul tanggungjawab menurunkan suhu perkauman dengan berhenti menyebarkan kebencian yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Sim berkata rakyat Malaysia perlu bersatu dan menolak agenda ejen provokasi dan ekstremisme.

“Musuh kita bukan sesama sendiri, tak kira kaum dan agama. Ketika dunia sedang bergolak, rakyat Malaysia harus bersatu untuk hebatkan perniagaan Malaysia, bangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan semua, tak kira kaum dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan berkata penularan hantaran serta ulasan berunsur perkauman dan ekstrem di media sosial dilihat semakin kerap berlaku kebelakangan ini sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut meminta semua pihak untuk memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terperinci berhubung sesuatu kes dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Ramanan berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (Perhebat), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah itu penting bagi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini terus terpelihara, terutama ketika pihak tertentu cuba mencetuskan ketegangan dengan menghina agama lain atau melakukan provokasi melampau.

Nga menegaskan mana-mana individu yang didapati menghina kitab suci, simbol keagamaan atau melakukan tindakan mencetuskan konflik antara penganut agama wajar didakwa di mahkamah tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.

“Saya tidak merujuk kepada siapa (tapi) mana-mana pihak yang menghina agama orang lain wajib didakwa di mahkamah. Sebab itu esok semasa Mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan turut bangkitkan perkara sama supaya Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan tegas terhadap semua puak pelampau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih Ramadan Bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dilaporkan berkata sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara memandang serius insiden yang berlaku baru-baru ini, yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat dalam negara dan mahu tindakan terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara mesti dilaksanakan tanpa kompromi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan