AM

Aidilfitri Medan Perkukuh Hubungan, Kebersamaan - Pemimpin Negeri

20/03/2026 11:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Ketua-ketua kerajaan negeri berharap Aidilfitri yang disambut umat Islam di seluruh negara esok menjadi medan memperkukuh silaturahim, menyemai nilai kasih sayang serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata hari kemenangan itu membuka ruang untuk seluruh umat Islam mengeratkan silaturahim, saling bermaafan serta menghargai keluarga, sahabat dan masyarakat sekeliling.

"Maaf zahir dan batin daripada saya dan keluarga, semoga Aidilfitri ini membawa kebahagiaan, ketenangan dan keberkatan kepada kita semua,” katanya dalam ucapan hari raya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat untuk menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai platform memperkukuh silaturahim serta menyemai kembali nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut mendoakan seluruh rakyat Pahang sentiasa dilimpahi rahmat, diberikan kesihatan yang baik serta terus hidup dalam suasana aman dan sejahtera.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi catatan di Facebook, berkata Syawal mengingatkan umat Islam untuk terus memelihara silaturahim dan tidak membiarkan perbezaan kecil merenggangkan hubungan yang telah terjalin sekian lama, selain bergembira di Aidilfitri.

"Mudah-mudahan segala amal kebaikan kita sepanjang Ramadan diterima Allah SWT dan ikatan kasih antara sesama kita terus dipererat dengan penuh keikhlasan," katanya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyeru rakyat di negeri itu supaya terus memperkukuh semangat kebersamaan dan memacu kesejahteraan sempena sambutan hari raya ini.

Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan agama perlu terus dipelihara keharmoniannya demi mencapai kehidupan yang aman, stabil dan sejahtera.

"Kemajuan sesebuah negeri tidak diukur melalui pembangunan fizikal atau angka ekonomi semata-mata bahkan melalui kekuatan nilai, keutuhan institusi dan perpaduan serta kesejahteraan masyarakatnya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengajak seluruh rakyat meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dalam suasana sederhana tanpa berlebih-lebihan.

“Syawal bermakna kita telah melalui proses mendidik jiwa, mengawal nafsu, memartabatkan maruah serta membentuk perilaku yang baik  bagi memastikan diri, negeri dan keluarga berada dalam keadaan yang baik dan bahagia,” katanya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan menasihatkan warga Johor yang bakal pulang ke kampung halaman masing-masing agar memandu dengan cermat dan berhemah.

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah mengharapkan hari raya kali ini terus menyatukan semangat kekeluargaan, memperkukuh silaturahim serta membawa keberkatan kepada negeri Perlis.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan