AM

MCMC Siasat Tiga Individu Sebar Maklumat Palsu Kenaikan Tarif Elektrik

01/04/2026 10:21 AM

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai peningkatan tarif baharu elektrik di platform digital.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan maklumat palsu itu disebarkan menerusi Facebook, Threads dan WhatsApp serta dipercayai menyalahgunakan elemen reka grafik sebuah organisasi berita.

“Menurut aduan diterima, kandungan disebarkan oleh kesemua individu berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat. 

"Hasil semakan mendapati bahawa kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI," menurut MCMC.

Kenyataan itu memberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

MCMC menegaskan bahawa suruhanjaya itu memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan