PASARAN > BERITA

AKTIVITI JUALAN SEDERHANA ASAK BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH

01/10/2024 09:51 AM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan penyusutan semalam apabila dibuka rendah hari ini dengan aktiviti jualan sederhana membabitkan kaunter perladangan selain produk dan perkhidmatan pengguna, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.91 mata kepada 1,646.0 daripada 1,648.91 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 1.49 mata kepada 1,647.42.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 221 berbanding 194 manakala 307 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,697 tidak diniagakan dan enam lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 229.62 juta unit bernilai RM115.68 juta.

Dalam nota penyelidikannya, firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun terdapat sentimen positif di China dan Hong Kong, saham-saham tempatan diasak tekanan semalam dengan minat jualan ketara manaka di Amerika Syarikat (AS), aliran sebaliknya menyaksikan Dow Jones dan S&P 500 mencecah kenaikan baharu.

“Kalangan peniaga memberi reaksi terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell yang membayangkan jika ekonomi berkembang, dasar monetari akan beralih secara berperingkat ke arah pendirian lebih neutral.

“Kemungkinan pengurangan 25 mata asas oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada November telah melonjak kepada 64 peratus daripada 47 peratus pada Jumaat lepas.

"Antara perkembangan utama yang akan dipantau teliti oleh peniaga termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) AS, senarai gaji bukan ladang dan tuntutan pengangguran di negara maju itu," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 2.0 sen kepada RM10.50, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing meningkat 1.0 sen kepada RM4.57 dan RM7.17 manakala CIMB dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM8.05 dan RM14.44.

Bagi saham aktif, DNex meningkat 5.5 sen kepada 39 sen, Capital A naik 2.0 sen kepada RM1.01, Cape EMS menokok 1.0 sen kepada 35 sen manakala Xidelang tidak berubah pada 2.0 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 19.62 mata kepada 12,302.29 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 26.65 mata kepada 12,218.47. 

Indeks FBMT 100 berkurangan 24.29 mata kepada 11,997.42, Indeks FBM 70 turun 46.65 mata kepada 17,351.88 dan Indeks FBM ACE merosot 2.46 mata kepada 5,174.82.

Selain itu, sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 20.94 mata kepada 19,268.24, Indeks Tenaga turun 4.49 mata kepada 841.86, Indeks Perladangan merosot 41.60 mata kepada 7,137.70 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.54 mata kepada 176.42.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan