PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SEDIKIT PADA SESI PAGI

01/10/2024 02:09 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi tinggi sedikit hari ini, dipacu oleh belian yang diperbaharui dalam saham wajaran tinggi terpilih, seiring dengan pemulihan pasaran serantau, kata seorang penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sedikit 0.02 mata atau 0.01 peratus, kepada 1,648.93, berbanding 1,648.91 ketika ditutup pada Isnin. Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.49 mata lebih rendah kepada 1,647.42.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi, 536 daripada 357, dengan 465 kaunter tidak berubah, 1,052  tidak diniagakan dan enam digantung. Jumlah dagangan sebanyak 1.55 bilion saham bernilai RM1.06 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan indeks penanda aras tempatan itu berada dalam julat 1,645-1,655 hari ini.

"Dalam beberapa hari kebelakangan ini, dana asing telah menjadi penjual bersih (pada Isnin) dan kami berharap segmen runcit mula mengumpul stok," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata Wall Street ditutup positif semalaman dengan keyakinan terhadap lebih banyak penurunan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS). 

"Bagaimanapun, pemerhati pasaran juga menunggu data pekerjaan Jumaat ini. DJIA (Dow Jones) naik 17 mata manakala Nasdaq menokok 69 mata berikutan hasil 10 tahun AS susut kepada 3.787 peratus. 

"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mengekalkan peningkatannya selepas seminggu belian secara besar-besaran berikutan langkah pelonggaran besar-besaran PBOC. Sentimen dirangsang seterusnya oleh pelonggaran sekatan pembelian hartanah di Guangzhou, Shanghai dan Shenzhen," katanya.

Kaunter wajaran tinggi Bursa, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing naik 2.0 sen kepada RM10.50 dan RM14.46. Public Bank dan CIMB tidak berubah, masing-masing pada RM4.56 dan RM8.05, manakala IHH Healthcare susut 1.0 sen kepada RM7.15.

Antara kaunter aktif, DNex menambah 4.5 sen kepada 38 sen, 99 Speed ​​Mart dan Leong Hup masing-masing naik 5.0 sen kepada RM2.28 dan 75 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 22.67 mata kepada 12,344.58, Indeks FBMT 100 meningkat 13.56 mata kepada 12,035.27 dan Indeks FBM 70 menokok 69.54 mata kepada 17,468.07.

Indeks FBM ACE naik 15.62 mata kepada 5,192.90, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 30.67 mata kepada 12,275.79.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 19.08 mata kepada 7,160.22 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 2.09 mata kepada 19,291.27. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.75 mata kepada 177.71, dan Indeks Tenaga berkurangan 8.06 mata kepada 838.29.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan