PASARAN > BERITA

ISU TIMUR TENGAH, EKONOMI GLOBAL HERET TURUN BURSA MALAYSIA

04/10/2024 06:20 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini lebih rendah pada Jumaat, ditekan jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui oleh kaunter telekomunikasi dan media susulan kebimbangan mengenai ketidaktentuan ekonomi global.

Maxis dan CelcomDigi mendahului apabila susut masing-masing 22 sen dan 9.0 sen kepada RM3.65 dan RM3.62, sekali gus melenyapkan gabungan 4.70 mata daripada indeks penanda aras tempatan.

Sewaku ditutup, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.58 mata daripada paras 1,629.97 pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka turun 3.06 mata kepada 1,638.49 dan bergerak dalam julat 1,625.35 hingga 1,639.29 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 610 berbanding 410 dengan 514 kaunter tidak berubah, 874 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.10 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 3.29 bilion unit pada Khamis bernilai RM2.52 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI kekal dalam wilayah negatif sepanjang sesi dagangan apabila sentimen pelabur terjejas diasak oleh ketegangan Timur Tengah yang meruncing.

"Jumlah dagangan berada di bawah angka purata kerana sentimen berhati-hati yang ketara di pasaran tempatan dengan risiko geopolitik menyebabkan pembeli lebih selesa berada di luar pasaran.

“Kekurangan momentum belian itu juga menyebabkan indeks bergerak dalam julat kecil dan memaparkan keraguan pasaran untuk mengambil sebarang pendirian atau kedudukan di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata di peringkat serantau, pasaran Hang Seng Hong Kong meneruskan aliran menaik, disokong oleh keyakinan mengenai langkah rangsangan berterusan di China.

 Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata indeks utama bursa itu sedang bergelut dengan gabungan faktor seperti ketidaktentuan ekonomi, risiko geopolitik dan potensi pemulihan di pasaran China berikutan pengumuman pakej rangsangan minggu lepas.

“Pada sesi dagangan yang tidak menentu ini, lantunan semalam mudah susut dan akhirnya indeks diheret turut ke wilayah negatif.

“Selain itu, minat belian lemah dan peningkatan risiko geopolitik hanya meningkatkan lagi penyusutan apabila pelabur mengalihkan tumpuan kepada saham Hong Kong, disokong oleh keyakinan terhadap langkah China itu," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing merosot 4.0 sen kepada RM10.50 dan RM4.53; CIMB Group turun 7.0 sen kepada RM7.92 dan IHH Healthcare susut 2.0 sen kepada RM7.22 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.28.

Bagi saham aktif, Capital A turun 4.5 sen kepada 86.5 sen, OCR Group susut 1.0 sen kepada 3.5 sen dan Bina Puri berkurangan setengah sen kepada 36 sen manakala Bumi Armada naik 2.0 sen kepada 50 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 60.28 mata kepada 12,209.49, Indeks FBM Emas Shariah merosot 67.19 mata kepada 12,114.21 dan Indeks FBMT 100 menguncup 62.72 mata kepada 11,900.57. 

Indeks FBM 70 berkurangan 9.83 mata kepada 17,286.40 manakala Indeks FBM ACE susut 6.23 mata kepada 5,109.52.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perladangan meningkat 4.21 mata kepada 7,185.78, Indeks Tenaga menambah 34.87 mata kepada 892.68 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.72 mata kepada 176.10 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 70.37 mata kepada 19,190.68.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.64 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 1.41 bilion unit bernilai RM2.22 bilion, semalam.

Selain itu, perolehan waran berkurangan kepada 1.12 bilion unit bernilai RM175.19 juta daripada 1.56 bilion unit bernilai RM216.43 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 341.97 juta unit bernilai RM90.46 juta daripada 306.83 juta unit bernilai RM77.76 juta, sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 278.487 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (268.43 juta), pembinaan (183.78 juta), teknologi (182.53 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (83.64 juta), hartanah (162.64 juta), perladangan (44.56 juta), REIT (7.42 juta), dana tertutup (143,900), tenaga (279.68 juta), penjagaan kesihatan (37.42 juta), telekomunikasi dan media (36.99 juta), pengangkutan dan logistik (22.87 juta), utiliti (53.43 juta) dan amanah perniagaan (29,000 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan