KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Eksport minyak sawit Malaysia pada Disember 2024 menyusut 9.97 peratus kepada 1.34 juta tan daripada 1.49 juta tan pada bulan sebelumnya, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam laporan prestasi industri pada Disember 2024, MPOB berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) bagi bulan tersebut merosot 8.30 peratus atau 134,508 tan kepada 1.49 juta tan daripada 1.62 juta tan pada November.
Pengeluaran isirung sawit menurun 6.84 peratus bulan ke bulan kepada 336,618 juta tan pada Disember daripada 361,340 tan pada bulan sebelumnya.
Pengeluaran minyak isirung sawit mentah menyusut 10.98 peratus kepada 156,927 tan daripada 176,292 tan pada November manakala hampas isirung sawit merosot 12.31 peratus kepada 172,830 tan daripada 197,095 tan.
Dari segi inventori, agensi itu melaporkan stok MSM menurun 1.45 peratus kepada 894,321 tan berbanding 907,494 tan pada November.
Simpanan stok minyak sawit yang diproses menurun 12.25 peratus kepada 814,426 tan daripada 928,147 tan pada bulan sebelumnya manakala jumlah stok minyak sawit merosot 6.91 peratus kepada 1.71 juta tan daripada 1.84 juta tan pada November.
MPOB berkata penurunan ketara dalam eksport minyak isirung sawit sebanyak 11.65 peratus kepada 95,918 tan pada Disember daripada 108,568 tan pada November.
Eksport hampas isirung sawit menyusut 8.90 peratus kepada 177,553 tan pada Disember daripada 194,901 tan pada bulan sebelumnya.
Selain itu, eksport oleokimia pada Disember menurun sedikit kepada 223,447 tan, susut 0.38 peratus daripada 224,290 tan pada November.
Bagaimanapun, eksport biodiesel melonjak 29.69 peratus kepada 15,231 tan daripada 11,744 tan pada November.
MPOB melaporkan import MSM sifar pada Disember manakala import minyak isirung sawit melonjak 139.50 peratus kepada 20,291 tan daripada 8,472 tan pada bulan sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial