Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan lebih tinggi pada minggu depan disebabkan permintaan yang berterusan untuk aset selamat seperti emas.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pelepasan data upah bukan perladangan pada Jumaat akan menentukan trajektori emas, memandangkan pasaran sedang mengukur sama ada laluan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menjadi lebih baik atau mendatar. Laporan pekerjaan yang lebih lemah mungkin dapat memperkuatkan jangkaan pemotongan kadar, seterusnya meningkatkan emas, manakala data yang lebih baik akan memberikan tekanan jangka pendek ke atas logam berharga itu.
“Ini bermakna, gambaran yang lebih besar masih kekal iaitu kebimbangan berkaitan dengan perang perdagangan, risiko geopolitik dan pembelian bank pusat yang akan terus menyokong emas. Dengan 2025 dijangka menjadi tahun ketidakpastian ekonomi dan politik yang semakin meningkat, pengukuhan emas masih mempunyai sasaran pada paras US$3,000. Sekiranya tarif naik semula atau inflasi melonjak, kenaikan emas mungkin berlaku lebih cepat,” kata Innes kepada Bernama.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak Februari 2025 melonjak kepada US$2,871.50 setiap auns troy berbanding US$2,754.10 sebelum ini. Kontrak Mac 2025 berada pada US$2,882.50 setiap auns troy manakala kontrak April, Mei dan Jun 2025 ditutup lebih tinggi pada US$2,888.10 daripada US$2,762.60 setiap auns troy.
Jumlah dagangan melonjak kepada 238 lot berbanding sifar pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 69 kontrak daripada 25.
Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 6 Feb, harga emas fizikal berada pada US$2,838.95 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial