KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Perkembangan perdagangan dan sentimen risiko yang meluas dijangka mempengaruhi ringgit yang diunjur diniagakan dalam julat 4.40-4.45 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.
Kenanga Investment Bank Bhd berkata dolar AS juga berkemungkinan tidak memberi reaksi segera terhadap pengumuman tarif oleh Presiden Donald Trump sebagaimana dilihat pada Isnin lepas, namun mata wang itu mungkin mengukuh sejurus pelaksanaannya.
Bank pelaburan itu berkata tumpuan juga masih kekal terhadap rundingan AS-China selain risiko tarif ke atas Kesatuan Eropah (EU).
Dalam nota penyelidikannya, Kenanga berkata terdapat tanda-tanda pasaran tenaga kerja AS yang lebih tepu dengan data Tinjauan Tawaran Kerja dan Jumlah Tenaga Kerja negara maju itu memaparkan penyusutan tawaran kerja.
“Pelabur kini menunggu data penggajian bukan perladangan, sebarang semakan utama berkemungkinan memberi kesan ke atas dolar AS.
“Angka yang lebih rendah memberi petunjuk pertumbuhan AS yang perlahan, namun angka inflasi pada minggu depan akan meningkatkan ketidaktentuan dasar Rizab Persekutuan AS (Fed),” katanya.
Bagi minggu baru berakhir ini, ringgit diniagakan dalam julat kecil yang didorong terutamanya oleh siri pengumuman tarif AS ketika pasaran menjangkakan Fed akan kekal dengan pendirian melaksanakan pengurangan kadar faedah pada lewat tahun ini.
Berikutan itu, ringgit turun naik, malah melangkaui 4.50 berbanding dolar AS pada Isnin selepas pentadbiran Trump mengumumkan langkah berkaitan tarif.
Ia bagaimanapun kembali mengukuh pada paras hampir 4.42-4.44 berbanding dolar AS selepas Washington melakukan pusingan U dengan pengumuman penangguhan tarif saat-saat akhir selama 30 hari bagi Kanada dan Mexico.
Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.4375/4420 daripada 4.4550/4600 pada seminggu sebelumnya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding pound Britain kepada 5.5278/5334 daripada 5.5336/5398 minggu lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.6101/6148 daripada 4.6247/6299 namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.9217/9249 daripada 2.8798/8832 pada akhir minggu sebelumnya.
Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, termasuk mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1853/2041 daripada 13.2274/2498 minggu lepas.
Berbanding rupiah Indonesia, ringgit diniagakan tinggi kepada 272.4/272.9 daripada 273.2/273.6, sebelum ini.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2866/2901 daripada 3.2854/2896 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.66 daripada 7.63/7.64 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial