Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah penanda arasnya namun memberikan isyarat bahawa penurunan kadar faedah kekal dalam perancangan.
Mata wang tempatan menokok 0.33 peratus kepada RM4.4215/4270 daripada 4.4330/4400 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Fed kekal tidak terkesan dengan prospek kadar faedah walaupun mengalami ketidaktentuan dasar yang meningkat terutamanya mengenai kesan tarif import.
“Unjuran makroekonomi terkini oleh Fed mengesahkan prospeknya mengenai dua penurunan kadar pada 2025, 2026 dan 2027, yang konsisten dengan unjuran Disember. Ini mengukuhkan lagi kejelasan mengenai hala tuju dasar monetari, tanpa sebarang perubahan daripada rancangan yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata keputusan Fed untuk mengurangkan had penebusan bulanan bon Perbendaharaan AS kepada US$5 bilion daripada US$25 bilion menandakan hasrat untuk mengurangkan kadar tidak lama lagi memandangkan langkah itu bertujuan memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati memandangkan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah dan pertikaian tarif yang berterusan, dengan kedua-dua aspek ini tidak memperlihatkan isyarat untuk reda.
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.7973/8033 daripada 4.8324/8400 semasa ditutup pada Rabu, menokok berbanding pound Britain kepada 5.7276/7347 daripada 5.7496/7587 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.9728/9767 daripada 2.9595/9643.
Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3117/3164 daripada 3.3251/3306 semasa ditutup pada Rabu, menokok berbanding baht Thailand kepada 13.1163/1388 daripada 13.1778/2056 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.74/7.75 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan mencatat sedikit perubahan berbanding rupiah Indonesia kepada 268.1/268.6 daripada 268.1/268.7.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial