KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Tokenisasi bon dan sukuk, yang bertujuan untuk meluaskan penyertaan runcit dalam pasaran modal Malaysia, dijangka akan diperkenalkan pada tahun ini.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif ini merupakan usaha bersama antara suruhanjaya itu dan Khazanah Nasional Bhd.
Beliau berkata inisiatif ini bertujuan untuk menjadikan bon lebih mudah diakses oleh pelabur runcit, memandangkan terbitan bon tertentu pada masa ini terhad kepada pelabur yang berpengalaman.
“Antara satu perkara yang akan kami umumkan akhir tahun ini ialah kami sedang menjalankan kajian bersama Khazanah untuk melihat bagaimana bon boleh ditokenisasikan.
“Secara logiknya, jika anda tokenisasikan bon, anda tidak perlu membeli keseluruhan bon. Anda hanya perlu membeli sebahagian daripadanya,” katanya dalam taklimat media mengenai Laporan Tahunan SC 2024 yang dikeluarkan hari ini.
Mohammad Faiz berkata inisiatif ini akan membolehkan SC dan Khazanah menilai fungsi utama, seperti kontrak pintar dan pengaturan penjagaan, sambil menilai manfaat dan risiko sekuriti yang berasaskan blockchain.
Menurut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, pelabur berpengalaman adalah termasuk individu berpendapatan tinggi dengan aset bersih RM3 juta, atau pelaburan RM1 juta, syarikat dengan aset bersih RM10 juta, dan pelabur institusi seperti bank, dana pencen dan syarikat insurans
Laporan Tahunan SC 2024 menjelaskan bahawa teknologi blockchain menawarkan manfaat seperti kebolehan pengaturcaraan, ketelusan, dan kebolehcapaian, yang membawa kepada dorongan global untuk tokenisasi.
Laporan itu turut menyatakan bahawa SC kini sedang membangunkan panduan peraturan untuk membantu perantara dalam memahami dan mengurus risiko yang berkaitan dengan sekuriti berasaskan token.
Bagaimanapun, Mohammad Faiz mengakui bahawa kemajuan tokenisasi bergantung kepada pertimbangan peraturan, terutamanya daripada Bank Negara Malaysia.
“Sudah semestinya tokenisasi menjadi agenda dalam ruang aset digital. Tetapi kemajuannya juga bergantung kepada bagaimana bank pusat melihatnya,” katanya.
Mohammad Faiz bagaimanapun menyatakan keyakinannya terhadap usaha ini dengan menyatakan bahawa sedang berlangsung perbincangan dalam kerajaan untuk memajukan penerimaan aset digital.
“Saya akan biarkan kerajaan mengumumkan pelan mereka, dan kami, di SC, sangat gembira untuk menyokongnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial