PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA RENDAH BERBANDING DOLAR AS

21/03/2025 09:45 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Ringgit rendah berbanding dolar AS pada sesi pembukaan hari ini, selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini berikutan pasaran menilai pendirian terkini Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang dilihat cenderung untuk menurunkan kadar faedah tetapi secara berhati-hati.

Pada 8 pagi, ringgit berada pada 4.4245/4360 berbanding dolar AS, susut daripada 4.4215/4270 pada Khamis. 

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ringgit kekurangan petunjuk yang jelas walaupun terdapat turun naik dalam Perbendaharaan AS semalaman. 

“Walaupun Perbendaharaan AS mengalami turun naik semalam, pada mulanya merosot sebelum meningkat semula, ia akhirnya ditutup tidak berubah, menunjukkan kekurangan petunjuk yang kuat untuk aliran modal yang boleh mempengaruhi pergerakan ringgit dengan ketara,” katanya kepada Bernama.   

Beliau berpendapat mata wang Asia, termasuk ringgit, mencatatkan kenaikan sementara berbanding dolar AS susulan keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS semalam, namun reaksi ini bersifat sementara dengan impak yang kecil.

“Pada masa depan, ketidaktentuan berterusan berikutan AS bersiap sedia untuk melaksanakan tarif timbal balas pada 2 April, menyebabkan pasaran berada dalam situasi tidak menentu.

“Jika sentimen risiko merosot, pelabur dijangka beralih kepada aset selamat seperti dolar AS, yang boleh memberi tekanan tambahan terhadap ringgit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Februari, yang dijangka dikeluarkan hari ini, dijangka menunjukkan peningkatan 1.5 peratus tahun ke tahun selepas kekal pada 1.7 peratus selama dua bulan berturut-turut.  

“Oleh itu, bacaan inflasi yang baik bermakna Bank Negara Malaysia selesa dengan keadaan dasar monetari sedia ada dan cenderung untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras yang stabil dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau mengunjurkan ringgit diniagakan antara 4.42 dan 4.43 berbanding dolar AS hari ini.  

Ringgit diniagakan rendah pada sesi pagi ini berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding euro kepada 4.8028/8153 daripada 4.7973/8033 semalam, merosot berbanding pound kepada 5.7368/7517 daripada 5.7276/7347 dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9773/9852 daripada 2.9728/9767.  

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN. 

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3150/3241 daripada 3.3117/3164, susut berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.76 daripada 7.72/7.74 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 268.3/269.2 daripada 268.1/268.6.  

Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1112/1538 daripada 13.1163/1388 semasa ditutup semalam.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan