PASARAN > BERITA

PANDANGAN BERCANGGAH MENGENAI HALA TUJU NIAGA HADAPAN MSM MINGGU DEPAN

22/03/2025 11:59 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Wujud pandangan yang berbeza mengenai prospek kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) pada minggu depan dengan perang perdagangan dijangka berterusan.

Selain itu, unjuran pengeluaran yang lebih lemah juga disebut sebagai faktor yang menyokong kepada pandangan yang berbeza ini.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih rendah pada minggu akan datang iaitu antara RM4,100 dan RM4,300 setiap tan.

Menurutnya, prestasi komoditi itu akan terjejas akibat perang perdagangan global yang dimulakan oleh Amerika Syarikat (AS), menyebabkan pasaran berada dalam mod berhati-hati.

“Dari segi permintaan fizikal, China, India, Pakistan, beberapa negara Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan AS kekal sebagai pembeli.

"Dari segi stok simpanan, ia bagus, tiada kekurangan di Malaysia dan Indonesia," kata Teh kepada Bernama.

Sebaliknya, peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik di tengah-tengah jangkaan pengeluaran yang lebih lemah akibat kesan banjir dari tahun lepas.

“Kami menjangkakan harga antara RM4,300 dan RM4,600,” katanya.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, kontrak baharu bulan semerta April 2025 merosot RM43 kepada RM4,651, Mei 2025 turun RM69 kepada RM4,507 dan Jun 2025 susut RM99 kepada RM4,375.

Julai 2025 berkurang RM115 kepada RM4,260 setiap tan, Ogos 2025 kehilangan RM127 kepada RM4,177 dan September 2025 berada pada RM4,125.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 364,344 lot daripada 480,548 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 256,932 kontrak daripada 248,014 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan turun RM70 kepada RM4,780 setiap tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan