PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN JUALAN LEWAT DAGANGAN

24/03/2025 08:41 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini disebabkan penjualan lewat mempengaruhi pasaran manaka pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.63 mata atau 0.11 peratus kepada 1503.82.88 daripada 1,505.45.18 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.05 mata lebih tinggi kepada 1,506.50.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 601 berbanding 310, manakala 435 kaunter tidak berubah, 1,080 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.01 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 3.43 bilion unit bernilai RM4.28 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau utama ditutup bercampur-campur dengan sentimen pelabur menjadi berhati-hati menjelang pengumuman tarif AS yang berpotensi boleh menjejaskan perdagangan global.

"Kami percaya sentimen pasaran tempatan akan kekal bercampur-campur, mendorong pendekatan berhati-hati. Melainkan penembusan melebihi paras rintangan, FBM KLCI dijangka kekal dalam jajaran kecil," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah hari ini kerana sentimen pasaran kekal neutral dalam persekitaran perkembangan geopolitik tidak menentu yang berlanjutan.

“Peserta pasaran kebanyakannya tertumpu kepada tarikh akhir 2 April untuk fasa seterusnya pengumuman tarif AS.

“Pada tarikh itu, AS merancang untuk mengenakan duti perdagangan ketara ke atas semua negara yang mengenakan tarif ke atas eksport AS bertujuan untuk urus niaga perdagangan lebih adil untuk barangan Amerika,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group meningkat tujuh sen kepada RM6.92 dan IHH Healthcare melonjak lima sen kepada RM6.95. Maybank susut dua sen kepada RM10.16, Public Bank jatuh satu sen kepada RM4.48 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.56.

Bagi saham aktif, Bina Puri menambah 0.5 sen kepada 33 sen, Saliran Group turun satu sen kepada 24.5 sen, V.S Industry merosot satu sen kepada 83 sen manakala Pertama Digital dan EA Holdings tidak berubah masing-masing pada 16 sen dan 0.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 42.70 mata kepada 11,263.09, Indeks FBMT 100 turun 38.79 mata kepada 11,022.59, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 43.40 mata kepada 10,983.77, Indeks FBM 70 menguncup 163.42 mata kepada 16,124.65 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 82.13 mata kepada 4,742.51.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 85.78 mata kepada 18,354.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 1.38 mata kepada 152.02, Indeks Tenaga berkurangan 4.70 mata kepada 747.10 dan Indeks Perladangan turun 3.02 mata kepada 7,446.91.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.03 bilion unit bernilai RM1.53 bilion daripada 1.69 bilion unit bernilai RM3.91 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.56 bilion unit bernilai RM262.35 juta daripada 1.35 bilion juta unit bernilai RM195.94 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 409.06 juta saham bernilai RM118.37 juta daripada 394.23 juta saham bernilai RM177.05 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 201.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (170.75 juta), pembinaan (82.73 juta), teknologi (96.77 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (80.48 juta), hartanah (93.12 juta), perladangan (13.76 juta), REIT (12.04 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (108.48 juta), penjagaan kesihatan (83.84 juta), telekomunikasi dan media (43.87 juta), pengangkutan dan logistik (13.76 juta), utiliti (30.72 juta) dan amanah perniagaan (46,800). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan