KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan prestasi positif sehingga tengah hari pada Rabu, disokong oleh minat belian dalam kebanyakan saham berwajaran tinggi memandangkan sentimen pasaran terus bertambah baik, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.79 peratus atau 12.10 mata kepada 1,525.70 daripada 1,513.60 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.10 mata lebih tinggi kepada 1,516.61 dan bergerak antara 1,514.65 hingga 1,525.73 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 413 berbanding 318, manakala 416 kaunter tidak berubah, 1,322 kaunter tidak diniagakan, dan 46 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 2.16 bilion saham bernilai RM1.17 bilion.
Menurut Maybank Investment Bank Bhd memandangkan tarikh 2 April, 2025 yang semakin hampir, laporan utama berkaitan tarif akan menjadi sangat penting dalam membentuk sentimen pasaran global.
Dari segi teknikal, indeks penanda aras dijangka bergerak antara 1,505 mata hingga 1,525 mata hari ini, dengan sokongan berada pada paras 1,470 mata dan 1,440 mata.
Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjelaskan bagi tempoh menuju kepada suku kedua 2025, pihaknya menjangkakan pasaran terus mengalami turun naik ketara disebabkan ketidakpastian yang berpunca daripada dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Bank pelaburan itu juga menjangkakan terdapat beberapa faktor yang menyenangkan, seperti jangkaan pengurangan kadar faedah AS tahun ini.
“Ini sewajarnya melemahkan dolar AS, yang mungkin menarik semula pelabur asing ke pasaran kita. Bagaimanapun, memandangkan ketidaktentuan dasar AS, ini bukan sesuatu yang pasti.
“Oleh itu, bagi suku kedua 2025, kami melihat beberapa senario “bagaimana jika” yang melibatkan kemungkinan pertumbuhan ekonomi AS dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia dan pasaran saham,” tambahnya dalam laporan “Market Outlook Second Quarter 2025: Buckle Up Your Seat Belt” oleh MIDF.
Antara saham berwajaran tinggi, Axiata dan Maxis masing-masing meningkat 13 sen kepada RM1.91 dan RM3.39, Public Bank menambah 5.0 sen kepada RM4.49 manakala CIMB dan CelcomDigi masing-masing naik 6.0 sen kepada RM7.06 dan RM3.51.
Bagi saham aktif, Chemlite Innovation Bhd yang baru disenaraikan di Pasaran ACE turun 2.0 sen kepada 23 sen, Reneuco menambah setengah sen kepada 5.5 sen, Wawasan Dengkil naik 2.0 sen kepada 25 sen, Pertama Digital turun 2.0 sen kepada 13.5 sen, dan Borneo Oil kekal pada 1.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 64.46 mata kepada 11,415.96, Indeks FBMT 100 naik 69.29 mata kepada 11,177.71, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 63.02 mata kepada 11,153.21.
Indeks FBM 70 menokok 24.40 mata kepada 16,330.96 namun, Indeks FBM ACE turun 20.22 mata kepada 4,725.58.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 135.05 mata kepada 18,558.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.17 mata kepada 153.15, Indeks Perladangan naik 12.39 mata kepada 7,450.06, dan Indeks Tenaga menokok 0.99 mata kepada 755.57.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial