Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Ketidaktentuan luaran yang terus ketara tidak mengekang prestasi ringgit yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu.
Pada 6 petang, unit tempatan itu meningkat kepada 4.4280/4315 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada 4.4355/4390.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pada sesi pagi, ringgit meningkat kepada RM4.4235 berbanding dolar AS namun susut sedikit dalam sesi petang kepada RM4.4310 yang juga peningkatan 0.14 peratus berbanding semalam.
“Di sebalik kekangan dalam bentuk ketidaktentuan ketara, ringgit dilihat sebagai mata wang ketiga berprestasi terbaik setakat ini dengan mencatat pengukuhan satu peratus sejak awal tahun.
“Ini menunjukkan peniaga dan pelabur masih mempunyai pandangan konstruktif terhadap prospek ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata yen Jepun muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia susulan jangkaan Bank of Japan menaikkan kadar dasar berikutan prospek inflasi lebih tinggi di masa depan.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama, termasuk meningkat berbanding euro kepada 4.7805/7842 daripada 4.7908/7946 semalam.
Ringgit juga naik berbanding pound Britain kepada 5.7161/7206 daripada 5.7351/7396 namun turun sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9498/9524 daripada 2.9480/9503.
Selain itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya meningkat berbanding mata wang ASEAN.
Berbanding peso Filipina, ringgit meningkat kepada 7.67/7.68 daripada 7.70/7.71, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0277/0453 daripada 13.0633/0813 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3104/3133 daripada 3.3158/3186.
Ringgit bagaimanapun tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 266.9/267.2 daripada 266.9/267.3.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial