PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP RENDAH SUSULAN KETEGANGAN DAGANGAN GLOBAL

08/04/2025 08:20 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini susulan ketegangan perdagangan global yang berterusan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan rakan dagangan utamanya.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata satu langkah penting dari Asia apabila bank pusat China membenarkan yuan merosot di bawah paras utama yang mencetuskan lonjakan permintaan emas di seluruh rantau ini.

Dengan kelemahan yuan, pelabur runcit dan institusi di Asia sedang mencari emas sebagai pelindung terhadap kemerosotan mata wang.

Bagaimanapun, situasi ini tidak stabil. Walaupun pembeli Asia beralih kepada emas untuk melindungi diri daripada risiko mata wang, peniaga Barat mengambil pendekatan yang berbeza.

"Mereka menjual emas apabila harga meningkat dengan anggapan perang dagangan mungkin tidak akan meningkat lebih jauh terutamanya dengan lebih daripada 50 sekutu AS kini memasuki rundingan," katanya kepada Bernama.

Innes berkata, buat masa ini, emas menerima manfaat daripada panik terhadap kejatuhan mata wang tetapi jika peniaga Barat terus menjual berdasarkan berita positif, akan dapat dilihat pertempuran berbolak-balik ke atas harga emas malam ini.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak bulan semerta April 2025 turun kepada US$3,004.50 setiap auns troy daripada US$3,032.30 setiap auns troy semalam dan Mei 2025 merosot kepada US$3,016.30 setiap auns troy daripada US$3,044.10 setiap auns troy.

Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 semuanya turun kepada US$3,027.50 setiap auns troy daripada US$3,055.90 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menokok kepada 187 lot daripada 153 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 238 kontrak daripada 199 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 7 April 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,014.75 setiap auns troy. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan