Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan meningkat mendadak, menjejaki prestasi semalaman pasaran Wall Street selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan penangguhan sementara tarif, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat kenaikan sebanyak 53.29 mata atau 3.81 peratus kepada 1,453.88 daripada 1,400.59 pada penutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka melonjak 63.71 mata kepada 1,464.30.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 743 berbanding 54, sebanyak 180 kaunter tidak berubah, 1,389 tidak didagangkan dan 10 digantung dagangannya.
Dalam dagangan semalaman, pasaran AS seperti Dow Jones meraih 7.87 peratus kepada 40,608.45, S&P 500 naik 9.52 peratus kepada 5,456.90 manakala Nasdaq Composite menoko k 12.16 peratus kepada 17,124.97.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ekuiti AS mencatat kenaikan terbesar selepas Trump bertindak mengumumkan penangguhan sementara tarif selama 90 hari dan menurunkan tarif timbal balas kepada asas 10 peratus, kecuali bagi China yang menyaksikan kadar itu dinaikkan kepada 125 peratus.
Bagaimanapun, beliau berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati terhadap pendirian China dalam perang perdagangannya dengan AS yang berlanjutan.
Di peringkat tempatan, Thong menjangkakan berlakunya pemulihan serta-merta dalam pasaran hari ini apabila pelabur menghadam petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street.
"Namun, kami menjangkakan pelabur terus berwaspada kerana keadaan tarif yang masih belum muktamad di tengah-tengah kecelaruan dasar Trump," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata indeks penanda aras itu dijangka berlegar dalam julat 1,400-1,450 hari ini.
Dalam kalangan wajaran tinggi, Maybank untung 41 sen kepada RM9.91, Public Bank meningkat 14 sen kepada RM4.23, TNB menokok 38 sen kepada RM13.20, CIMB menambah 37 sen kepada RM6.72 dan IHH Healthcare meraih 10 sen kepada RM6.81.
Bagi saham aktif, Sapura Energy meningkat setengah sen kepada empat sen, SumiSaujana naik setengah sen kepada 18.5 sen, MYEG menokok 5.5 sen kepada 81 sen, Velocity Capital meningkat dua sen kepada sembilan sen dan Nationgate meraih 18 sen kepada RM1.20.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 441.80 mata kepada 10,785, Indeks FBMT 100 menokok 424.84 mata kepada 10,573.68 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 432.66 mata kepada 10,573.68.
Indeks FBM 70 naik ketara sebanyak 757.21 mata kepada 15,139.58 manakala Indeks FBM ACE meningkat 183.61 mata kepada 4,329.87.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 705.07 mata kepada 17,609.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 6.65 mata kepada 138.69, Indeks Tenaga menokok 37.97 mata kepada 650.56 dan Indeks Perladangan meraih 243.87 mata kepada 7,082.96.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial