PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA MENGUKUH BERBANDING DOLAR AS, MATA WANG UTAMA

15/04/2025 09:32 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika sentimen berhati-hati terus ketara di pasaran susulan kecelaruan dasar tarif import negara maju itu.

Laporan terbaru menyatakan Rumah Putih sedang merancang mengenakan cukai baharu ke atas semikonduktor dan farmaseutikal.

Pada 8 pagi ini, ringgit diniagakan meningkat kepada 4.4085/4215 berbanding dolar AS daripada paras 4.4100/4160 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kekalutan mengenai tarif itu telah mendorong kesukaran dalam menilai kesan makroekonomi.

Indeks Dolar AS (DXY) juga jatuh kepada 99.640 mata, mencerminkan peralihan sentimen pelabur dengan pasaran mencari tempat selamat alternatif.

“Harga emas kekal tinggi dengan emas semasa pada US$3,227.40 seauns - meningkat 23 peratus daripada US$2,624.50 pada awal tahun.

“Ini menunjukkan pelabur bertindak beralih kepada logam berharga di tengah-tengah ketidaktentuan yang kian meningkat," katanya kepada Bernama.

Susulan DXY yang lebih lemah, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit bergerak dalam julat RM4.40 dan RM4.41 dalam urus niaga hari ini.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan meningkat berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0773/0868 daripada 3.0811/0855, naik berbanding euro kepada 4.9975/5.0122 daripada 5.0199/0267 dan tinggi sedikit berbanding pound Britain kepada 5.8073/8244 daripada 5.8097/8176. 

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1182/1745 daripada 13.1481/1754 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3494/3595 daripada 3.3506/3556.

Ringgit berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 262.5/263.5 daripada 262.6/263.2 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.72/7.75 daripada 7.72/7.74.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan