PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS, KECUALI MATA WANG UTAMA

23/04/2025 07:23 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Rabu dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus mengukuh susulan peningkatan optimis terhadap prospek rundingan dagangan membabitkan Washington-Beijing, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.3880/3925 berbanding dolar AS daripada 4.3835/3905, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS mendapat rangsangan susulan komen Presiden Donald Trump yang memberi isyarat kemungkinan tarif dikurangkan jika China terbuka kepada rundingan.

Beliau berkata meskipun pasaran kewangan menerima isyarat itu secara positif, kesan sebenar ke atas dinamik perdagangan dan pergerakan mata wang akan turut bergantung kepada perkembangan konkrit rundingan itu.

“Perlu dilihat sama ada taktik sedemikian akan menghasilkan hasil yang disasarkan. Sekurang-kurangnya, ada tanda-tanda Presiden AS bersedia membuat konsesi dalam keadaan semasa yang buntu dan ini mendapat respons baik di peringkat pasaran kewangan," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata setakat ini, penanda aras ekuiti di seluruh rantau Asia dan dagangan awal di Eropah juga memaparkan beberapa petunjuk positif.

“Indeks Dolar AS (DXY) mencatat pemulihan kecil apabila meningkat 0.22 peratus kepada 99.139 mata," katanya.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama.

Ini termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0925/0959 daripada 3.1206/1260 semalam, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8457/8517 daripada 5.8590/8683 dan naik berbanding euro kepada 5.0102/0154 daripada 5.0362/0442.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.3478/3515 daripada 3.3523/3579, naik berbanding baht Thailand kepada 13.1251/1457 daripada 13.1930/2212, rendah berbanding peso Filipina pada 7.75/7.77 daripada 7.73/7.75 dan turun berbanding rupiah Indonesia pada 260.0/260.5 daripada 259.9/260.5 semalam.

-- BERNAMA    

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan