Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Ringgit mengakhiri minggu dagangan ini dengan ditutup rendah apabila dolar Amerika Syarikat (AS) mengukuh disebabkan meningkatnya harapan bahawa perang perdagangan AS-China akan mereda.
Pada 6 petang, unit tempatan itu susut kepada 4.3705/3770 berbanding dolar AS daripada 4.3695/3750 ketika ditutup Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berbanding dolar AS pada hari ini berada dalam julat terhad, bergerak antara RM4.3715 dan RM4.3823.
"Pertikaian tarif antara AS dan China terus menjadi tumpuan dengan sentimen pasaran kekal berhati-hati," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata terdapat laporan bahawa China mungkin mengecualikan tarif import ke atas barang-barang tertentu yang dikenakan terhadap AS kerana kos yang semakin meningkat memberi beban kepada perniagaan mereka.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0431/0481 daripada 3.0670/0710 pada Khamis, naik berbanding euro kepada 4.9596/9670 daripada 4.9738/9801 tetapi hampir mendatar berbanding pound Britain kepada 5.8128/8214 daripada 5.8127/8201 semalam.
Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan bercampur-campur.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3228/3280 daripada 3.3307/3354 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.0195/0450 daripada 13.0632/0874.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut berbanding peso Filipina kepada 7.77/7.78 daripada 7.72/7.74 dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 259.6/260.2 daripada 258.9/259.4.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial